Anda di sini

Lagi remaja tampil dakwa ditipu lelaki menyamar polis

Advertisement

SIBU: Seorang lagi remaja lepasan sekolah tampil membuat laporan polis selepas di­percayai menjadi mangsa penipuan seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat ASP.

Pengadu berumur belasan tahun itu berbuat demikian selepas berita mengenai penangkapan lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis tersebar Isnin lalu.

Polis percaya ramai pencari kerja teruta­ma di kalangan penganggur remaja tertipu oleh suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang pegawai polis berpengaruh yang mampu membantu mereka untuk menjadi seorang anggota polis melalui ‘pintu belakang.’

Polis percaya suspek mampu meyakinkan lepasan sekolah dan pencari kerja bahawa dia mempunyai hubungan dengan ‘orang dalam’ PDRM sebagai modus operand­inya.

Menurut laporan, mereka yang ingin menjadi polis hanya perlu membayar RM250 untuk memastikan mereka men­jadi polis tanpa perlu menghadiri interviu mahupun latihan.

Selepas menerima bayaran tersebut, suspek dikatakan akan memberi kad kuasa polis kepada mereka.

Difahamkan, suspek akan mengintai mangsa yang tidak mengenalinya di ka­wasan tertentu seperti pusat beli-belah dan kawasan tumpuan remaja.

Apa yang mengejutkan, kegiatan suspek hanya diketahui umum baru-baru ini dan jumlah mangsa yang tertipu belum dapat dipastikan.

Tembelang suspek akhirnya terbongkar selepas seorang mangsa memberitahu ibu bapanya yang bertindak memaklumkan kepada polis minggu lepas.

Susulan itu, polis telah mengadakan satu serbuan semasa pengadu men­gadakan temu janji dengan suspek untuk membuat pembayaran di sebuah hotel di sini.

Sehubungan itu, pihak polis di sini meminta orang ramai terutamanya mereka yang pernah menjadi mangsa penipuan suspek atau orang lain agar tampil membuat laporan polis.

Mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat untuk membuat laporan polis berhubung kes berkenaan.

Advertisement