Anda di sini

Kes dua warga asing bunuh bayi lelaki disebut lanjut 1 April

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret se­malam menetapkan 1 April depan untuk sebutan lanjut kes sepa­sang warga asing yang dituduh melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia dua hari.

Manakala kedua-dua tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Soha Beta, 31, dan Herna Molla, 25, kedua-duanya dari In­donesia telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan huku­man mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh telah melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki (tiada nama) berusia lebih kurang dua hari.

Pasangan terbabit didakwa melakukan kesalahan itu den­gan niat bersama pada jam 3.30 petang, 26 November tahun lalu di lereng bukit Jalan Ladang Alamwasa Sdn. Bhd, Suai.

Pendakwaan dilakukan di ha­dapan Majistret Lovely Natasha Charles.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi semalam menetapkan 18 Mac ini untuk pengurusan kes seorang bekas banduan yang dituduh membunuh se­orang pekerja luar pantai yang mayatnya dijumpai terdampar di pantai Batu Satu, Kuala Baram pada Ogos 2012.

Manakala tertuduh diperin­tahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Noly Amut, 27, dari Bandar Baru Permyjaya di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati man­datori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Edward Kenidie Ngadan, 27.

Dia didakwa melakukan ke­salahan itu pada jam 2.30 pagi, 28 Ogos 2012 di kawasan tepi jalan Bandar Baru Permyjaya di sini.

 

Advertisement