Anda di sini

Kerajaan kekal komitmen ke arah pelaksanaan Polisi Pertanian S’wak

Advertisement

KUCHING: Kerajaan negeri mengekalkan komitmen ke arah pelaksanaan Polisi Pertanian Sarawak bagi mencapai objektif pembangunan selari dengan pengurusan lestari sumber-sumber hutan dan biodiversiti.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bagi tujuan itu kerajaan menyasarkan 25 peratus daripada tanah digunakan bagi pelbagai tujuan pertanian.

Dengan tercapainya sasaran ini, ia tetap akan membolehkan Sarawak mengekalkan peratusan tinggi iaitu lebih daripada 60 peratus diliputi hutan lebih tinggi berbanding purata dunia.

“Sarawak telah mengenakan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sebagai undang-undang yang perlu dilaksanakan bagi memastikan pembangunan kelapa sawit tidak menjejaskan integriti alam sekitar.

“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) barat telah menuduh Sarawak dalam isu seperti pemusnahan hutan paya gambut, orang utan dan banyak lagi.

“Sebetulnya, 5,000 orang utan Sarawak kini sedang membiak dan menambah populasi di Taman Hidupan Liar Lanjak Entimau, Taman Negara Batang Ai dan Taman Negara Sebuyau.

“Jelas sekali bahawa NGO asing mempunyai agenda tersendiri dengan memburuk-burukkan usaha kita dalam membangunkan sumber-sumber hutan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya pada Jamuan Makan Tengah Hari sempena Persidangan Ketua-ketua Perwakilan Malaysia Kelapan di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh.

Tambah Awang Tengah, kelapa sawit merupakan salah satu daripada 17 minyak dan lemak yang dikeluarkan secara global dengan penggunaan tertinggi pada 2012 hampir mencapai tiga bilion orang di 150 negara.

Penggunaan global minyak sawit ialah 52.1 juta tan pada 2012 dan bersaing dengan kacang soya, minyak bunga matahari di pasaran dunia bagi minyak dan lemak.

Advertisement