Anda di sini

Kekosongan kerusi Balingian sudah dimaklumkan, SPR bincang 6 Mac

Advertisement

KUCHING: Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, kata Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.

Asfia berkata, kerusi yang diwakili Pehin Sri Abdul Taib Mahmud itu kosong berkuat kuasa hari ini serentak dengan peletakan jawatan beliau sebagai Ketua Menteri.

“Saya sudah memaklumkan Pengerusi SPR menerusi faksimili hari ini (semalam) berhubung peletakan jawatan YAB Ketua Menteri sebagai ADUN Balingian di mana kerusi itu sekarang kosong.

“Notis ini adalah untuk membolehkan SPR mengambil tindakan sepatutnya,” ujarnya pada sidang media di DUN di sini, semalam.

Asfia berkata, surat memaklumkan peletakan jawatan itu diterima beliau pada 26 Februari.

Menurut beliau, tindakan Taib itu adalah selaras dengan Artikel 18(2)(b) Perlembagaan Sarawak yang antara lain mengkehendaki beliau mengosongkan kerusi itu apabila meletak jawatan sebagai Ketua Menteri.

Tempoh DUN Sarawak tamat pada 20 Jun 2016 dan tempoh dua tahun bermula 21 Jun 2014. Pilihan Raya Kecil tidak perlu diadakan jika terdapat sebarang kekosongan dalam tempoh dua tahun DUN akan tamat tempoh.

Sehubungan itu, Bernama melaporkan SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada 6 Mac bagi membincangkan kekosongan kerusi itu.

Mesyuarat akan dipengerusikan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Putrajaya.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan semalam berkata, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Asfia.

Sementara itu, Asfia yang juga Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) enggan mengulas lanjut mengenai perbincangan berhubung calon Barisan Nasional (BN) di kerusi tersebut kelak.

Antara yang disebut bakal bertanding atas tiket BN kelak ialah Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya. Juanda, 42, berketurunan Melanau dan berasal dari Igan, Mukah.

Kelmarin, Juanda berkata beliau bersedia untuk menggalas tanggungjawab itu jika dikehendaki berbuat demikian oleh pucuk pimpinan BN.

Seorang lagi yang dikaitkan ialah jurutera berusia 30-an yang memiliki perniagaan di Kuching dan berasal dari Kampung Tellian, Mukah.

Taib yang meletak jawatan Ketua Menteri berkuat kuasa hari ini merupakan ADUN Balingian sejak 2001. PBB mewakili BN di kerusi tersebut.

Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dijadual mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima pada hari ini di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Abang Muhammad Salahuddin.

Taib, 78, yang menjadi Ketua Menteri selama 33 tahun dijadual menerima watikah pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh menggantikan Tun Salahuddin hari ini.

Asfia berkata, Taib akan menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Kuala Lumpur.

“Seterusnya Taib dijangka akan mengangkat sumpah di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak pada pagi Sabtu di Dewan Undangan Negeri,” ujarnya.

Advertisement