Anda di sini

Jumlah panggilan kecemasan meningkat pada 2013

Advertisement

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri menerima sejumlah 4,393 panggilan kecemasan sepanjang 2013 berbanding 4,222 panggilan pada tahun sebelumnya.

Ketua Zon JPBM Negeri (Zon Satu) Tiong Ling Hii berkata, panggilan kecemasan yang diterima JBPM merangkumi panggilan kebakaran, menyelamat, tugas-tugas khas dan panggilan palsu.

“Statistik panggilan kecemasan yang diterima pada 2013 bagi seluruh negeri menunjukkan peningkatan sebanyak 4.05 peratus bagi 4,393 panggilan berbanding 2012 yang hanya mencatat 4,222 panggilan.

“Ia merangkumi 1,897 panggilan kebakaran, menyelamat (2,409 panggilan), tugas-tugas khas (18 panggilan) serta panggilan palsu (69 panggilan),” katanya kepada pemberita sebelum Pertandingan Kawat Kecekapan Operasi Kebombaan Peringkat Zon Satu bermula semalam.

Sementara itu, menurutnya, panggilan kecemasan yang diterima sepanjang 2013 juga mencatat peningkatan sebanyak 2.37 peratus daripada 1,853 panggilan kepada 1,897 panggilan.

Ketika diminta mengulas mengenai kadar peningkatan kes kebakaran yang dilaporkan di seluruh negeri, Tiong memberitahu bahawa punca utama kebakaran yang sering dilaporkan ialah berikutan litar lintas keperluan elektrik.

“Kebanyakan laporan kebakaran yang diterima adalah berpunca daripada litar pintas atau kerosakan wayar elektrik selain masyarakat yang kurang peka serta mudah panik ketika berada dalam situasi cemas,” katanya.

Sementara itu, Tiong menyifatkan kejadian kebakaran terburuk berlaku pada 2013 ialah kebakaran yang berlaku di Kampung Datu, Sibu yang meranapkan ratusan rumah.

“Kes kebakaran yang berlaku di Kuching tidak begitu teruk dengan kes kebakaran dua hingga tiga unit kediaman atau premis perniagaan sahaja, namun kami masih mahu mengingatkan masyarakat di sini agar sentiasa bersedia dan mengelak sebarang punca kebakaran daripada berlaku,” katanya.

Pada masa sama, JBPM turut meningkatkan pemeriksaan penghapusan bahaya kebakaran daripada 1,946 pemeriksaan pada 2012 kepada 6,428 pemeriksaan sekali gus mencatatkan kenaikan sebanyak 230.3 peratus pada 2013.

Ia sebagai usaha mendidik masyarakat mengenai langkah menangani situasi cemas kebakaran atau apa sahaja kemungkinan bahaya yang berlaku.

Advertisement