SIMUNJAN: Operasi mencari dan menyelamat seorang gadis yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak Selasa lalu dihentikan semalam selepas dia dikatakan melarikan diri mengikut teman lelakinya.
Menurut sumber, mangsa yang hanya dikenali sebagai Nursufiah, 16, dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak habis sesi persekolahan pada hari berkenaan selain turut tidak menghubungi keluarganya.
Ekoran risau akan keselamatan mangsa, keluarganya membuat laporan polis pada hari berikutnya dan satu operasi mencari dan menyelamat mangsa telah dilancarkan.
“Bagaimanapun, operasi tersebut ditamatkan semalam selepas ibu mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Simunjan memaklumkan bahawa anaknya masih hidup dan dipercayai lari mengikut teman lelaki,” kata Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Sungguhpun begitu, pihak polis sehingga berita ini ditulis semalam masih menjalankan operasi mencari berpandukan laporan yang dibuat oleh ibu mangsa.
Mangsa terdahulu dikhuatiri hilang sejak 25 Februari lalu di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sadong di sini sekitar jam 3 petang dan satu laporan polis telah dibuat oleh keluarga mangsa pada hari berikutnya pada jam 5 petang.
Berikutan laporan tersebut pihak bomba dengan kerjasama dari pihak polis dan keluarga mangsa telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa terutama di sekitar kawasan hutan berdekatan dengan sekolah berkenaan.
Operasi tersebut kemudian dihentikan semalam sekitar jam 1 petang setelah laporan polis dibuat oleh ibu mangsa mendakwa anaknya itu melarikan diri mengikut teman lelaki.