Anda di sini

Bantah Taib sebagai TYT cerminkan politik negatif pembangkang

Advertisement

KUCHING: Tindakan pembangkang yang membantah pelantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Yang di-Pertua Negeri mencerminkan politik negatif diamalkan mereka.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata tentangan itu amat bercanggah dengan kehendak majoriti rakyat yang diwakili Barisan Nasional (BN).

“BN Sarawak yang mewakili majoriti orang Sarawak telah sebulat suara mengusul dan menyokong pelantikan Pehin Sri sebagai Yang di-Pertua Negeri.

“Pehin Sri adalah anak peribumi Sarawak yang banyak berjasa kepada negeri ini,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Abdullah berkata beliau hairan me-ngapa pihak terbabit tidak membantah pelantikan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang bukan anak tempatan atau Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bercita-cita menjadi Menteri Besar Selangor.

Menurutnya, pembangkang sudah celaru dengan hala tuju perjuangan politik mereka.

Mereka iri hati dengan kedudukan BN yang semakin kukuh dari segi politik dan perpaduan kaum, katanya.

“Mereka berniat untuk menimbulkan kekacauan seperti yang berlaku di negara jiran yang tidak menguntungkan rakyat.

“Kita warga negeri Sarawak daripada pelbagai kaum akan menyambut pelantikan TYT dan Ketua Menteri baharu dengan harapan besar untuk meneruskan agenda pembangunan negeri ini terutama di kawasan pedalaman,” katanya.

Abdullah diminta mengulas mengenai hebahan menerusi telefon bimbit yang mengatakan satu perhimpunan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Brimas akan diadakan pada Sabtu ini.

Bermula jam 9 pagi di pekarangan Kompleks Pelancongan Sarawak, ia mengatakan program itu akan disertai Setiausaha PKR Miri Zulhaidah Subuh.

Peserta perhimpunan dikatakan akan menggunakan baju-T berwarna hitam dan akan mengibarkan bendera separuh tiang.

Bagaimanapun, Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian berkata beliau tidak maklum mengenai hal itu.

Beliau yang juga ADUN Ba’Kelalan turut membayangkan tidak akan me-nyertai perhimpunan itu kerana masih berada di kawasan.

Mengulas perkara sama bekas Naib Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Pandi Suhaili berkata penganjur program itu digesa tidak meneruskan perhimpunan.

Katanya pembangkang hanya akan mengundangkan kemarahan rakyat Sarawak memandangkan Taib amat layak untuk dilantik ke jawatan itu setelah mengambil kira jasanya terhadap pembangunan Sarawak.

“Sumbangan Taib kepada pembangunan negeri Sarawak amatlah besar sehingga melayakkannya digelar sebagai Bapa Pembangunan Moden Sarawak.

“Atas dasar tersebut, Taib adalah seorang calon yang layak untuk dilantik sebagai TYT sebagai menghargai sumbangannya kepada negeri Sarawak,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Menurutnya, keengganan penganjur mengakui hakikat ini menunjukkan mereka hanya mengamalkan politik negatif yang enggan melihat seba-rang kebaikan yang ada pada pihak lawan.

“Sarawak memerlukan pembangkang yang mempunyai minda yang profesional yang dapat membantu Sarawak maju ke hadapan dan bukannya pembangkang yang mempunyai minda busuk dan jahat yang hanya bertujuan untuk mencari publisiti murahan dengan mengadakan perhimpunan haram untuk mendapatkan perhatian rakyat Sarawak,” ujarnya.

Advertisement