Anda di sini

Syabu, dua sahabat dicekup

Advertisement

TUARAN: Kelicikan dua sahabat yang mengaut keuntungan daripada mengedar dadah sejak awal tahun ini akhirnya terbongkar selepas dicekup polis dalam satu serbuan di sebuah rumah Taman Telipok Ria, dekat sini, baru-baru ini.

Insiden yang berlaku jam 3.30 petang pada 21 Februari lepas itu, kedua-dua suspek berusia 20 dan 27 tahun terbabit ditahan bersama 33 paket plastik pelbagai saiz dipercayai mengandungi dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintenden Abdul Fuad Abd Malek berkata, ketika ditahan kedua-dua suspek berada dalam rumah berkenaan dan hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya berjaya menemui beberapa bahan rampasan.

“Serbuan ke atas rumah terbabit berjaya merampas 33 paket plastik pelbagai saiz disyaki berisi syabu seberat 5.1 gram.

“Nilai rampasan dianggarkan bernilai lebih RM2,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, kelmarin.

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil risikan dan maklumat awam mendapati kedua suspek melakukan kegiatan terbabit secara kecil-kecilan sejak awal Januari lepas.

Menurut Fuad, polis tidak menolak kegiatan berkenaan untuk pasaran setempat di sekitar daerah Tuaran.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek-suspek ini bekerja sebagai buruh binaan.

“Kita percaya mereka adalah pengedar dadah kecil-kecilan di daerah ini dan usaha mengesan pembekal utama dadah itu sedang giat dilakukan,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) dan 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

Advertisement