Anda di sini

UMNO Bahagian Kuala Terengganu bantu keluarga pesakit cilik

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Penderitaan seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun, Nur Hidayah Abu Bakar, yang menghadapi masalah injap jantung tersumbat sejak lahir mendapat perhatian UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

Semalam, anak pasangan Abu Bakar Hasan, 47, dan isterinya Rosiah Mokhtar, 46, itu dikunjungi Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Sabri Alwi bersama kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sejak disahkan injap jantungnya tersumbat, anak ketujuh daripada lapan beradik itu terpaksa berulang-alik ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur untuk tujuan perubatan.

Ketika ditemui pemberita, Sabri berkata JKM akan menyalurkan bantuan kepada keluarga itu mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

“Adik Nur Hidayah ini seorang pelajar yang pintar di Sekolah Kebangsaan Pulau Rusa dan kita harap rawatan terbaik akan diberikan kepadanya supaya dia dapat membesar seperti kanak-kanak lain.

“UMNO Kuala Terengganu akan berusaha meringankan beban kewangan keluarga ini selain agensi kerajaan yang berkaitan agar kebajikan mereka tidak terabai,” kata Sabri yang turut memberi sumbangan wang dan barangan keperluan dapur.

Bagi Abu Hasan pula, kunjungan itu melegakan perasaannya kerana pendapatannya sebagai tukang urut ketika ini hanya sekitar RM500 sebulan dan tidak mampu menampung perbelanjaan harian mereka 10 beranak.

“Lima orang anak saya masih bersekolah dan saya belum membayar yuran persekolahan mereka baru-baru ini…mujur kami terima juga sumbangan bulanan daripada JKM dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan,” katanya sebak. — Bernama

Advertisement