Anda di sini

Tenis telah mengharumkan nama Sarawak

Advertisement

TROFI: Mawan (empat kanan) menyerahkan trofi kejohanan kepada Patrick sambil disaksikan mereka yang lain di Kuching semalam.

KUCHING: Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawan berkata Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) berjaya meletakkan nama Sarawak di peta dunia melalui penganjuran kejohanan tenis bertaraf antarabangsa di sini.

“Kerajaan negeri melahirkan rasa bangga dengan kejayaan SLTA meletakkan nama Sarawak di peta dunia melalui penganjuran kejohanan tenis bertaraf antarabangsa di sini,” katanya semasa majlis penyerahan trofi Kejohanan Tenis Remaja ITF (Gred 1) Piala Ketua Menteri Sarawak ke-23 (1) di pejabatnya semalam.

“Tenis telah banyak mengharumkan nama negeri…justeru kita akan merangka program terancang bagi memastikan sukan itu terus berkembang ke tahap yang lebih tinggi di sini,” katanya.

Beliau yang mewakili Ketua Menteri Pehin Seri Abdul Taib Mahmud juga akan memastikan fasiliti sukan tenis ditingkatkan agar Sarawak terus menjadi destinasi pilihan pemain dari luar.

Pada masa sama, Mawan turut menyeru persatuan sukan lain agar mengikut jejak SLTA dalam membawa lebih banyak kejohanan bertaraf antarabangsa di sini bagi meningkatkan mutu sukan negeri.

Sementara itu, Presiden SLTA Datuk Patrick Liew berkata edisi ke-23 yang akan berlangsung pada 11 hingga 16 Mac depan itu merupakan salah satu kejohanan paling berprestij di mana ia hanya berlangsung di tiga buah negara Asia terpilih.

Katanya, ramai pemain tenis profesional dari seluruh dunia pernah bersaing dalam kejohanan itu dan ia sentiasa menjadi landasan bagi mereka yang mahu melonjakkan lagi karier dalam sukan tersebut.

Pusingan pertama akan diadakan di Thailand seminggu sebelum kejohanan di Kuching berlangsung sebelum beralih ke Filipina selepas saingan di sini tamat.

Setakat kelmarin, seramai 207 peserta lelaki dan wanita mewakili 43 negara mengesahkan penyertaan pada kejohanan tersebut dengan Malaysia menghantar sembilan peserta yang akan bersaing dalam dua kategori.

Undian utama menyaksikan perebutan 34 pemain lelaki dengan tumpuan dalam acara lelaki terarah kepada pemain ranking pertama dari Taiwan, Yang Shao-Chi.

Manakala 34 orang pemain juga bakal mempertaruhkan kehebatan dalam saingan utama bagi kategori wanita dengan pilihan ketiga dari Republik Chech Heinova Simona berada dalam kedudukan pilihan.

Kesemua perlawanan akan berlangsung di gelanggang tenis SLTA.

Advertisement