Anda di sini

SM Sains Kuching juara kriket Zon Utara Piala Tan Sri Hamzah

Advertisement

KUCHING: Sekolah Menengah Sains Kuching (SAINSKU) mengaharumkan nama Sarawak apabila muncul juara Kejohanan Kriket Piala Tan Sri Hamzah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Zon Utara dan Sarawak 2014 pada 14 hingga 17 Februari lalu di Universiti Utara Malaysia (UUM).

SAINSKU yang diundi dalam Kumpulan A bersama Sekolah Menengah Sains Sultan Muhammad Jiwa dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh muncul juara kumpulan sekali gus melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Peringkat suku akhir menyaksikan SAINSKU tidak menghadapi masalah mengalahkan Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (SERATAS).

SAINSKU ternyata tiada tandingan apabila mudah mengenepikan cabaran SBP Integrasi Kubang Pasu dan layak ke peringkat akhir.

Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menjadi ‘mangsa’ apabila turut kalah di tangan SAINSKU pada peringkat akhir.

Lebih manis, dua pemain SAINSKU iaitu Syed Mohd Hamidi diumumkan ‘Best Wicketkeeper’ dan Mohd Akram Asri (pemain terbaik perlawanan akhir).

Kejohanan itu sertai 18 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Zon Utara dan Sarawak, manakala pasukan dari Sarawak yang turut mengambil bahagian termasuk Sekolah Menengah Sains Kuching Utara dan Sekolah Menengah Sains Miri.

Dengan kejayaan juara itu, SAINSKU akan mewakili Zon Utara dan Sarawak pada Kejohanan Kriket Piala Tan Sri Hamzah SBP Peringkat Kebangsaan pada 9 hingga 14 April depan di Sekolah Menengah Sains Banting.

Advertisement