Anda di sini

Penjenayah ditembak mati selepas samun banglo milik juruterbang

Advertisement

DITEMBAK MATI: Anggota forensik melakukan siasatan ke atas seorang warga Indonesia yang mati ditembak oleh anggota polis selepas melakukan rompakan di sebuah rumah banglo milik juruterbang di Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE) di Shah Alam, semalam. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Hasrat empat penjenayah warga asing menikmati hasil rompakan dari banglo seorang juruterbang di Seksyen 13 di sini semalam tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka mati ditembak polis di tepi jalan di Km7.8 Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE), dua jam selepas kejadian rompakan itu berlaku.

Tiga lagi suspek berjaya melarikan diri manakala seorang anggota polis MPV berpangkat lans koperal luka di lengan kiri selepas dilibas suspek yang ditembak itu dengan parang.

Rentetan kejadian samun itu, polis turut menahan dua lelaki rakyat tempatan yang menaiki pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipercayai sedang menunggu empat penjenayah terbabit, serta seorang pemandu teksi bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata dalam kejadian jam 4 pagi itu, keempat-empat penjenayah terbabit memecah masuk banglo mewah berkenaan sebelum bertindak mengikat anak lelaki mangsa berusia 24 tahun menggunakan wayar.

Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam, beliau berkata suspek kemudian melarikan sebuah komputer riba, tiga buah telefon bimbit dan seutas rantai emas menyebabkan kerugian kira-kira RM10,000.

“Selepas penjenayah meninggalkan banglo itu mangsa telah menghubungi 999 dan lanjutan panggilan itu Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Azisman Alias telah mengetuai sendiri operasi mengesan suspek.

“Sebuah kereta peronda MPV yang sedang menuju ke lokasi kejadian kira-kira jam 6 pagi kemudian terserempak dengan sebuah kereta Toyota Hilux yang diletakkan di tepi jalan di Km7.8 lebuh raya NKVE, kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian samun.

“Anggota peronda yang mengesyaki sesuatu cuba menghampiri Toyota Hilux berkenaan tetapi tiba-tiba kereta tersebut terus dipecut meninggalkan tempat itu. Pemandu kereta peronda MPV itu kemudian mengejar Toyota Hilux terbabit sehingga di hadapan sebuah kilang gula di Batu Tiga di sini, di mana anggota berkenaan berjaya menahan dua lelaki warga tempatan yang berada di dalam Toyota Hilux itu,” katanya.

Pemeriksaan terhadap kedua-dua lelaki berumur 25 dan 24 tahun terbabit mendapati suspek berumur 25 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau manakala seorang lagi suspek yang bekerja di kedai menjual besi buruk mempunyai empat rekod kesalahan lampau, katanya.

Mohd Shukri berkata ketika pemandu kereta MPV bertindak mengejar Toyota Hilux terbabit, seorang lagi anggota peronda MPV yang ditinggalkan di tepi lebuh raya berkenaan telah terserempak dengan empat penjenayah yang cuba bersembunyi di dalam longkang dipercayai sedang menunggu untuk diambil oleh dua lelaki yang berada dalam Toyota Hilux itu.

“Anggota polis itu kemudian mengejar empat suspek berkenaan tetapi seorang daripada penjenayah terbabit bertindak berpatah balik dan melibas anggota polis berkenaan menggunakan parang sehingga melukai lengan kiri anggota polis itu.

“Demi untuk mempertahankan dirinya, anggota polis berkenaan telah mengeluarkan pistol lalu melepaskan tiga das tembakan mengenai bahagian badan suspek. Suspek kemudian rebah dan meninggal dunia.

“Turut dijumpai berhampiran suspek yang ditembak mati ialah sebuah beg mengandungi kesemua barang yang disamun di banglo berkenaan,” katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek yang ditembak berusia 34 tahun itu baharu memasuki Malaysia pada 14 Feb lepas.

Rentetan kejadian samun itu juga, Mohd Shukri berkata pihaknya telah menahan seorang pemandu teksi berusia 64 tahun yang secara kebetulan berada di kawasan surau berhampiran dengan lokasi kejadian samun bagi membantu siasatan sama ada dia terlibat dengan kes itu.

Beliau berkata kesemua yang ditahan akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi kesalahan samun berkumpulan dan Seksyen 307 Kanun kerana cubaan membunuh.

“Kita kini sedang mengesan tiga lagi penjenayah yang melarikan diri menggunakan segala bantuan yang kita ada seperti unit anjing pengesan dengan menggeledah kawasan sekitar belukar di belakang banglo berkenaan yang digunakan keempat-empat penjenayah untuk melarikan diri ke arah lebuh raya NKVE itu.

“Kita juga berdepan cabaran untuk kendalikan kes jenayah yang kini turut melibatkan kerjasama antara warga tempatan dan warga asing,” katanya sambil memuji kepantasan anggotanya menyelesaikan kes samun itu dalam tempoh dua jam. — Bernama

Advertisement