Anda di sini

Pemandu pelancong maut ditembak di hadapan klinik

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu pelancong maut ditembak ketika cuba melarikan diri selepas diugut seorang lelaki di hadapan sebuah klinik di Taman Sentosa, Brickfields malam kelmarin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata mangsa yang berusia 27 tahun maut akibat terkena dua das tembakan yang mengenai belakang kepala dan yang menembusi mulutnya dalam kejadian kira-kira jam 7.17 malam.

“Ketika kejadian mangsa S.Jeevanandan dikatakan sedang memandu kereta Proton Wira yang dipinjam dari seorang wanita untuk ke sebuah kedai minuman sebelum keretanya dilanggar sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki empat suspek,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata mengikut saksi di tempat kejadian, ketika mangsa memberhentikan keretanya, salah seorang suspek keluar dari kereta sebelum mengugutnya.

Takut dengan ugutan itu, mangsa terus lari keluar dari keretanya untuk meminta bantuan, namun dia ditembak, katanya.

“Siasatan polis di lokasi kejadian turut menemui satu kelongsong peluru dan dua butir slug. Sejurus kejadian, polis menahan seorang wanita iaitu pemilik kereta Wira berkenaan dan seorang lelaki iaitu rakan mangsa yang membawanya ke hospital, untuk membantu siasatan,” kata Khairi sambil menambah motif kejadian masih disiasat.

Beliau berkata pihak hospital mengesahkan mangsa sudah meninggal apabila dibawa ke hospital. — Bernama

Advertisement