Anda di sini

Pelajar maut dilanggar ketika dalam perjalanan ke sekolah

Advertisement

BELURAN: Seorang pelajar perempuan maut selepas dilanggar bas sekolah ketika dalam perjalanan ke sekolah di Km38, Jalan Sapi-Nangoh dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran DSP Sivanathan Velautham berkata mangsa dikenali sebagai Siti Nur Hajidah Ajid, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Sapi Beluran.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa dilanggar sebuah bas sekolah milik sebuah syarikat perladangan yang dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun.

Menurutnya mangsa yang cedera parah di kepala dikejarkan ke Klinik Kesihatan Telupid, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Katanya mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat dan hasil siasatan mendapati mangsa mengalami pendarahan dalam kepala akibat hentakan kuat.

Beliau berkata pemandu bas terlibat ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Sementara di KUANTAN, seorang pelajar tingkatan satu maut setelah terjatuh dan digilis bas sekolah yang hendak dinaikinya di Sekolah Menengah Kebangsaan Semambu dekat sini petang kelmarin.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, ASP Zainalabidin Othman berkata mangsa Adam Daniel Abdullah, 13, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

“Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa bersama sekumpulan pelajar lain dilaporkan berlari menuju ke arah bas yang ketika itu pintunya masih tertutup dan sedang menghala ke tempat letak kenderaan.

“Dipercayai semasa berebut-rebut untuk menaiki bas, mangsa telah terjatuh ke bawah bas sebelum digilis,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata polis telah mengambil keterangan daripada pemandu bas yang berusia 45 itu dan turut mengadakan ujian saringan air kencingnya. — Bernama

Advertisement