Anda di sini

Lucas Kallang pengarah MSNS baharu?

Advertisement

Lucas Kallang

KUCHING: Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Sarawak (SFDP), Lucas Kallang menjadi calon pilihan sebagai pengarah baharu Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).

Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawan berkata pihaknya mencadangkan Lucas berdasarkan pengalamannya yang luas dalam bidang sukan semasa memegang jawatan timbalan pengarah MSNS sebelum ini.

“Saya percaya beliau (Lucas) mempunyai pengalaman yang cukup luas untuk mengendalikan MSNS dengan baik,” katanya pada majlis penyerahan trofi Kejohanan Tenis Remaja ITF (Gred 1) Piala Ketua Menteri Sarawak ke-23 (1) di sini semalam.

Katanya, memandangkan Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 menjadi fokus utama Sarawak, kita amat memerlukan mereka yang berpengalaman dalam membentuk dan mengendalikan program sukan bagi memastikan misi memburu kejuaraan pada temasya tersebut tercapai.

Lucas dijangka mengambil alih tugas selaku pengarah MSNS bagi menggantikan Francis Nyurang Ding yang menamatkan tugas pada 31 Disember lalu.

Selain beliau, empat lagi calon turut bersaing bagi merebut jawatan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Mawan menjelaskan pihaknya juga sedang dalam proses memperbaharui dan membina fasiliti sukan sebagai persediaan menghadapi SUKMA 2016.

Jelasnya, fokus lebih tertumpu kepada pembinaan fasiliti sukan yang mampu menyumbang banyak pingat.

“Kebanyakan fasiliti yang kita ada sekarang hanya sesuai untuk latihan. Justeru, pasukan khas akan mengenal pasti segala kekurangan dan perlu dilakukan dengan segera kerana kita kesuntukan masa,” katanya.

Advertisement