Anda di sini

LHDN: 993 pemilik syarikat tertunggak cukai RM42.5juta

Advertisement

SHAH ALAM: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semalam melancarkan program Kunjungan Mesra Hasil (KMH) peringkat nasional dengan sasaran melawat premis-premis perniagaan melalui pendekatan mesra bagi memungut tunggakan hasil.

Dalam kunjungan mesra yang dijadualkan selama tiga hari di Selangor, 220 pegawai LHDN akan memberi notis tunggakan hasil berjumlah RM42.5 juta kepada 993 pemilik syarikat dan perniagaan di tiga kawasan tumpuan iaitu Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas merasmikan program KMH peringkat nasional di sini, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN Datuk Dr Siti Mariam Che Ayub berkata sejumlah 3,325 premis perniagaan akan dilawati dalam program kunjungan mesra itu.

Mulai tahun ini LHDN turut melakukan pembaharuan iaitu mengguna pakai sistem aplikasi Mobile Information Management (MIM) bagi mengakses maklumat percukaian pembayar cukai, sebelum pegawai menjalankan operasi, katanya.

Beliau berkata sistem MIM membolehkan maklumat pembayar cukai diakses di lapangan oleh pegawai menggunakan peranti mudah alih seperti komputer riba, telefon pintar dan tablet dengan hanya memasukkan nombor pendaftaran perniagaan atau nombor kad pengenalan.

“Dengan cara ini, pegawai dapat memberikan khidmat nasihat tepat kepada pembayar cukai sekiranya mereka melanggar tanggungjawab membayar cukai,” katanya.

Siti Mariam berkata sistem MIM kini di peringkat ujian keberkesanan bagi membolehkan maklumat mengenai operasi dipaparkan secara grafik untuk tujuan perancangan lawatan yang lebih strategik.

Mengenai KMH, katanya program yang sebelum ini dikenali sebagai Operasi Mesra Hasil, adalah pendekatan mesra pelanggan oleh LHDN bagi meningkatkan kadar pematuhan pembayaran cukai. — Bernama

Advertisement