Anda di sini

Kementerian Kesihatan wujudkan SOP hadapi tugas berisiko: Dr Subramaniam

Advertisement

SANDAKAN: Kementerian Kesihatan akan mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menghadapi tugas berisiko berdasarkan pen­galaman terlibat dalam Ops Daulat di Lahad Datu.

Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata SOP ini penting bagi memastikan setiap langkah dan tindakan mengambil kira kepentingan dan keselamatan nyawa petu­gas serta keselamatan harta benda awam.

“Ia akan membantu pasu­kan perubatan kita dalam merangka pelan tindakan kecemasan apabila terlibat dalam operasi seperti itu.

“SOP yang akan diwujud­kan itu akan menjadi rujukan kepada dasar serta peraturan supaya apa juga langkah men­gambil kira kepentingan dan keselamatan awam,” katanya pada Majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara di sini semalam.

Sebanyak 199 penerima merangkumi petugas peru­batan dan kesihatan terlibat dalam Ops Daulat menerima pingat itu.

Mengulas lanjut pada sidang akhbar selepas majlis itu, Dr Subramaniam berkata beliau mencadangkan pewujudan SOP tersebut disebabkan terdapat keperluan jika ber­hadapan situasi seperti itu.

Katanya dalam SOP itu nanti terdapat kaedah ber­hadapan suasana kerja yang berbeza bagi membolehkan petugas kementerian itu men­jalankan tugas yang sesuai dan berbeza daripada tugas biasa serta mengambil kira keselamatan diri mereka.

Sehubungan itu, beliau meminta jabatan berkaitan di kementerian itu membuat tindakan susulan berhubung pewujudan SOP tersebut.

Beliau yakin ia mampu diwujudkan disebabkan ke­menterian itu sudah mempu­nyai SOP jika terlibat dalam operasi berkaitan bencana alam.

Menurutnya dalam situ­asi Ops Daulat, biarpun Angkatan Tentera Malaysia mempunyai pasukan kesi­hatan sendiri tetapi ia tidak mencukupi dan bantuan dari­pada Kementerian Kesihatan diperlukan. — Bernama

Advertisement