Anda di sini

Kawasan rondaan PDRM dan ATM catat penurunan jenayah indeks

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lokasi rondaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi me­nangani masalah jenayah secara lebih efektif diperluas ke 26 kawasan lagi di seluruh negara yang akan dilaksana dalam masa terdekat.

Pengarah Jabatan Pence­gahan dan Pembanterasan Jenayah, Ibu Pejabat Po­lis Bukit Aman Datuk Wira Ayub Yaakob ber­kata program di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru itu diteruskan beriku­tan kejayaan yang direkod dengan penurunan kadar jenayah indeks di kawasan rondaan bersama kedua-dua pasukan keselamatan berkenaan.

“Sejak ia dilaksanakan pada 2011, kadar jenayah indeks merekodkan penu­runan termasuk di kawasan rondaan bersama ini iaitu pada 2010 sebanyak 23,932 kes, 20,406 kes (2011), 18,809 kes (2012) dan 16,478 (2013),” katanya.

Setakat ini, strategi rondaan bersama itu di­laksana di 44 kawasan tumpuan yang dikenal pasti, katanya.

“Kita mahu perluaskan dengan matlamat bukan sekadar untuk menurunkan kadar jenayah tetapi untuk meningkatkan rasa selamat termasuk meningkatkan ta­hap kepuasan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Per­jumpaan Khas Inisiatif Rondaan Bersama PDRM-ATM di sini semalam.

Perjumpaan itu, yang diadakan bagi melihat pen­dekatan baharu yang boleh dilaksana dalam program berkenaan, turut dihadiri Ketua Eksekutif Institut Pertahanan dan Kesela­matan Malaysia (MiDAS) Leftenan Jeneral Datuk Dr William Stevenson.

Ayub berkata dalam usaha itu, yang selaras dengan mat­lamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi menurunkan kadar jenayah lima peratus seta­hun, anggota yang meronda disaran mendekati komuniti untuk membolehkan pihak berkuasa mengumpul ma­salah terutama berkaitan jenayah dihadapi penduduk setempat.

“Penglibatan ini sebab kita nak tahu apa lagi yang masyarakat perlukan dan sebagainya. Kalau kita dah tahu, barulah kita boleh berikan perkhidma­tan mengikut releven dan keperluan dan menjalankan tugas secara holistik.

“Kita juga menjemput orang ramai untuk men­yalurkan sebarang idea atau projek yang boleh dibangunkan dalam usaha mencari pendekatan operasi mencegah jenayah setaraf negara maju,” katanya.

Antara program lain di bawah inisiatif NBOS ialah ‘Rapat’ iaitu rondaan ber­sama ATM, PDRM dan orang awam di kawasan perumahan berhampiran kem tentera di seluruh negara yang dilaksana sejak 2011.

Sementara itu, Stevenson berkata koloborasi strategik berkenaan dilihat sebagai satu usaha positif khusus­nya bagi membanteras dan mengurangkan jenayah.

“Penglibatan kita dalam rondaan seperti ini selaras dengan peranan sekunder ATM, iaitu membantu pembangunan negara den­gan tugas menjaga kesela­matan seperti ini.

“Ia juga tidak menje­jaskan misi serta fungsi ATM, dan profesionalisme anggota dari segi kemahiran dan keupayaan dalam mem­pertahan kedaulatan negara juga sama sekali tidak terje­jas,” katanya. — Bernama

Advertisement