Anda di sini

Kakitangan AADK dan pekerja agensi pelancongan didakwa minta rasuah

Advertisement

ALOR SETAR: Seorang kakitangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan seorang pekerja agensi pelancongan tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah melibatkan RM3,000 serta satu pertuduhan pilihan menyamar sebagai anggota polis, tahun lepas.

Ezli Efifuddin Chik, 28, yang bertugas di AADK Cawangan Langkawi dan Mohd Amzar Hashimi, 28, memohon dibicarakan selepas keempat-empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Rosli Osman.

Dalam pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa meminta suatu suapan wang tunai RM3,000 daripada Mohammed Sharif Abdul Aziz Bhagad sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas Mohammed Sharif kerana ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Lazeez, Kompleks Kelana Mas, Kuah, Langkawi jam 9 malam pada 23 Jun 2013.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menerima suapan wang tunai RM1,200 daripada Syed Fakhraymoin Chisty sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas Mohammed Sharif dan tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu jam 9.10 malam, di tempat dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa menerima wang tunai RM1,800 daripada Mohammed Sharif dan kesalahan itu dilakukan di Lot 91, 92 dan 93, Persiaran Mutiara 2, Pusat Perdagangan dan Pelancongan Kelana Mas, Kuah, jam 2.40 petang pada 2 Julai 2013.

Bagi kesemua pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa menipu Mohammed Sharif dengan mengaku sebagai anggota polis daripada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah dan mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Lazeez, pukul 8.30 malam, 23 Jun 2013.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mac sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa SPRM Syahrul Khuzaini Amiruddin dan tertuduh pertama, Ezli Efifuddin diwakili peguam Mohamad Afza Dahri manakala Mohd Amzar tidak diwakili peguam. — Bernama

Advertisement