Anda di sini

Bekas majikan Nirmala Bonat dakwa tidak bersalah

KUALA LUMPUR: Bekas majikan Nirmala Bonat, Yim Pek Ha semalam memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia tidak bersalah dan tidak pernah menyebabkan kecederaan kepada bekas pembantu rumahnya.

Yim dalam pernyataan saksinya berkata, dari mula hingga kini, meskipun berada di dalam penjara, tetap menegaskan bahawa dia tidak bersalah.

“Sejak perkara itu berlaku 10 tahun yang lalu, anak-anak saya menderita, begitu juga suami dan keluarga yang turut menderita disebabkan oleh segala penipuan dan pertuduhan yang dibuat terhadap saya.

“Sekarang saya berada di penjara untuk perkara yang bukan saya lakukan dan saya harap dan berdoa supaya kebenaran akan muncul suatu hari nanti,” kata Yim dalam kes saman Nirmala terhadapnya dan suaminya, Hii Ik Tiing kerana mendera dan mencederakan pembantu rumah itu dengan seterika dan air panas.

Yim juga berkata tiada alasan untuk dia mendera Nirmala kerana dia mempunyai empat orang anak yang masih kecil yang dia sayangi dan mempunyai suami yang penyayang.

“Tiada alasan untuk saya melakukan perkara itu dan saya mungkin seorang majikan yang tegas tetapi saya pasti saya tidak akan menyeksanya,” katanya.

Yim berkata, sepanjang Nirmala bekerja dengannya, pembantu rumah yang berasal dari Desa Tuapakas di Kota Kupang, Indonesia itu merupakan seorang yang malas, pelupa dan tidak kemas.

Ibu kepada empat anak itu berkata Nirmala pernah memaklumkan kepadanya bahawa dia hendak pulang ke kampung dan tidak mahu lagi bekerja.

“Perkara itu berlaku sekitar November 2003 apabila Nirmala mengemas barang dan beritahu dia mahu pulang ke kampung. Kami menghubungi agensi pembantu rumah dan meminta agensi itu mengambilnya.

“Bagaimanapun, seorang daripada agensi itu meminta untuk bercakap dengan Nirmala dan selepas itu Nirmala meminta maaf kepada kami dan memaklumkan bahawa dia mahu meneruskan kerjanya,” kata Yim.

Pada 28 Jan 2010, Nirmala memfailkan saman terhadap Yim, 46, dan Hii, 48, selepas mendakwa didera dan dicederakan beberapa kali oleh Yim, antaranya menggunakan seterika panas yang dilekapkan pada badannya pada Januari 2004.

Wanita itu, yang diambil bekerja sebagai pembantu rumah kepada pasangan terbabit yang tinggal di Villa Putera, Jalan Tun Dr Ismail di sini pada September 2003, mendakwa Hii pula gagal menghalang isterinya daripada mencederakan Nirmala serta gagal memberikannya rawatan perubatan yang sewajarnya.

Nirmala menuntut ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialaminya serta ganti rugi khas lebih RM40,000 bagi kehilangan pendapatan, perbelanjaan perubatan dan perbelanjaan lain yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.

Pada 1 Okt 2012, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhi hukuman penjara 12 tahun terhadap Yim, yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan Nirmala.

Perbicaraan di hadapan Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid bersambung hari ini. — Bernama