Anda di sini

Bekalan air tujuh empangan di N.Sembilan masih terkawal

Advertisement

TAMPIN: Bekalan air di tujuh empangan di Negeri Sembilan setakat ini masih dalam keadaan terkawal namun Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) sentiasa memantau keadaan.

Pengurus Besar Sains Zulkifli Ibrahim berkata bekalan air di empat empangan iaitu Sungai Terip, Kelinchi, Talang dan Gemencheh berada di paras berjaga-jaga manakala di tiga lagi empangan iaitu Sungai Beringin, Ulu Sepri dan Triang berada di paras melimpah.

“Bagaimanapun kita dapati empangan Gemencheh agak menurun parasnya dan kita memberi perhatian perkara ini. Empangan Gemencheh membekalkan air kepada 15,000 pengguna di kawasan Tampin dan Rembau.

“Paras empangan itu hari ini (semalam) mencatat bacaan terkini 99.82 meter berbanding paras kritikal 98.00 meter dan paras minimum 86.00 meter,” katanya kepada pemberita selepas meninjau empangan Gemencheh dekat sini, semalam.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Gemencheh Mohd Isam Mohd Isa dan Pengarah Unit Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan Nor Halim Aludin.

Zulkifli berkata bekalan air empangan Gemencheh kini hanya mampu bertahan dalam tempoh 25 hari sahaja lagi, sekiranya tiada hujan dalam masa terdekat.

Katanya Sains akan mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk membuat catuan air jika paras air di empangan Gemencheh terus menurun selepas tempoh 25 hari.

“Sekarang ini, usaha kita ialah untuk memanjangkan tempoh 25 hari itu dan antara langkah yang dibuat ialah mendapatkan bekalan air di loji rawatan air Sawah Raja, Rembau. Pelan kontingensi kita sudah mulakan lebih awal untuk memantau keadaan air di seluruh negeri ini,” katanya.

Sehubungan itu, Zulkifli menasihati pengguna supaya menggunakan air secara berhemah ekoran cuaca panas kini.

Mohd Isam pula berkata beliau telah meminta semua masjid di Gemencheh mengadakan solat hajat memohon hujan berikutan penurunan paras air di empangan Gemencheh. — Bernama

Advertisement