Anda di sini

TPM pengerusikan mesyuarat khas BN bagi PRK Kajang

Advertisement

MESYUARAT: Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di pejabat UMNO Hulu Langat di Kajang, semalam. — Gambar Bernama

KAJANG: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mempengerusikan mesyuarat khas Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di pejabat UMNO Hulu Langat di sini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN tiba pada jam 9 pagi, disambut oleh Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Turut hadir calon BN bagi pilihan raya itu Datin Paduka Chew Mei Fun. Hadir sama Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Kong, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Mesyuarat lebih sejam itu bertujuan membincangkan perancangan dan strategi BN bagi menghadapi pilihan raya kecil itu yang akan dilangsungkan pada 23 Mac depan.

Muhyiddin ketika mengumumkan Naib Presiden MCA itu sebagai calon BN pada Jumaat lepas dilaporkan berkata, Chew yang berasal dari Selangor, menjadi pilihan kerana beliau seorang yang berwibawa, mempunyai pengalaman luas serta sudah biasa berurusan dengan dengan kerajaan persekutuan.

Bekas timbalan menteri pembangunn wanita, keluarga dan masyarakat itu dijangka akan berdepan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil itu.

Bekas Presiden Parti KITA Datuk Zaid Ibrahim, Senator S. Nallakaruppan dan peguam Yuktes Vijay juga telah menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 11 Mac.

PRK DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh dari PKR pada 27 Januari lepas. — Bernama

Advertisement