Anda di sini

Sebanyak 44kg ganja dirampas, pasangan kekasih ditahan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis merampas 45 ketulan ganja mampat dianggarkan bernilai RM100,000 dan menahan sepasang kekasih dipercayai pengedar dadah ketika sedang menunggu pelanggan di kawasan parkir berhampiran Hentian Duta di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata dadah seberat 44 kilogram itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran Lembah Klang.

“Lelaki dan wanita masing-masing berumur 30-an dan 20-an itu ditahan dalam serbuan polis pada 2.45 pagi Khamis lepas. Dadah itu disimpan di dalam dua beg pakaian yang ditemui dalam kereta yang dinaiki mereka,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Turut dirampas wang tunai RM2,430 dan empat telefon bimbit pelbagai jenama daripada mereka, katanya.

Menurut Mohmad, siasatan lanjut mendapati lelaki dan wanita berasal dari Pulau Pinang itu masing-masing bekerja sebagai penghantar surat di sebuah pejabat peguam, dan jurukecantikan.

“Kita percaya mereka ambil sendiri bekalan dadah ini dari negara jiran untuk dijual di Lembah Klang,” kata Mohamd, sambil menambah kegiatan mereka dikesan aktif sejak dua bulan lepas.

Beliau menjelaskan walaupun dadah jenis ganja dilihat sebagai “tradisional”, namun wujud pemintaan kerana harganya lebih murah berbanding dadah sintetik.

Ujian saringan mendapati kedua-dua mereka negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau, katanya. — Bernama

Advertisement