Anda di sini

Rakyat bakal nikmati harga ikan lebih murah

Advertisement

KANGAR: Rakyat bakal menikmati harga ikan lebih murah menerusi kerjasama strategik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang membolehkan nelayan menjual terus hasil tangkapan mereka.

Pengerusi LKIM Datuk Irmohizam Ibrahim berkata menerusi kerjasama ini, FAMA  akan menyediakan tapak khusus kepada Persatuan Nelayan di kesemua 520 pasar tani kendalian agensi berkenaan.

“Pemeteraian kerjasama strategik ini bertujuan menghapuskan peranan orang tengah ke arah meningkatkan pendapatan nelayan selain menjadi kayu pengukur penentuan harga ikan oleh LKIM.

“Pendekatan ini selaras Strategi Lautan Biru kerajaan dalam bidang subsektor perikanan bagi membantu rakyat menangani kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup,” katanya kepada pemberita selepas perasmian program turun padang pengurusan tertinggi LKIM yang disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail semalam.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan melakukan upacara pecah tanah Pasar Nelayan Sungai Baru Selatan dan menyerahkan elaun sara hidup bulan Februari kepada 272 nelayan serta bantuan awal persekolahan.

Irmohizam berkata sebuah jawatankuasa khas pelaksana bagi menjayakan pendekatan itu diwujud membabitkan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan Persatuan Petani Kebangsaan (NAFAS).

Persatuan Nelayan juga diarah membuat persediaan memasarkan terus hasil tangkapan mereka di pasar tani menjelang akhir tahun ini, katanya.

Mengulas Pasar Nelayan, beliau berkata LKIM akan membina 50 pasar itu di seluruh negara tahun ini bagi membolehkan golongan berkenaan memasarkan hasil tangkapan mereka secara terus selain peralatan menangkap ikan dan produk hiliran.

Irmohizam juga berkata kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi pembinaan Pasar Nelayan yang setiap satunya bernilai RM200,000 dan daripada jumlah itu, lima akan dibina di Perlis termasuk di Kuala Sungai Baru. — Bernama

Advertisement