Anda di sini

Pengagihan BR1M Parlimen Sibuti hari ini

Advertisement

MIRI: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 bagi kawasan Parlimen Sibuti akan mula diagihkan menerusi kaedah baucar di tiga lokasi bermula hari ini (Selasa) jam  8 pagi hingga 4.30 petang.

Menurut sumber Pusat Khidmat Parlimen Sibuti, pengagihan BR1M 3.0 peringkat pertama akan dilakukan di Dewan Masyarakat Bekenu dan Gelanggang Bola Keranjang Bekenu pada 25 dan 26 Februari.

Pada keesokan harinya, program sama akan diadakan di Dewan Masyarakat Batu Niah dan pada 4 Mac pula diadakan di Stadium Tertutup Miri masing-masing jam 8 pagi hingga 4.30 petang.

Menurut sumber, seramai 17,440 penerima BR1M bagi kawasan Parlimen Sibuti masing-masing terbahagi kepada 12,848 penerima BR1M kategori RM650 manakala 607 orang pula penerima RM450.

Bagi individu bujang berpendapatan bawah RM2,000, seramai 3,985 orang penerima mendapat RM300.

“Daripada jumlah keseluruhan dibahagikan kepada dua kontituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Sibuti. Bagi kawasan DUN Bekenu, sejumlah 11,950 penerima dicatatkan layak menerima BR1M 3.0 manakala bagi kawasan DUN Lambir, seramai 5,490 orang penerima bakal menerima bantuan masing-masing.

Semua penerima BR1M 3.0 bagi kawasan Parlimen Sibuti boleh memeriksa nama masing-masing pada hari pengagihan terbabit, terutama bagi mereka yang tidak menerima bantuan menerusi akaun bank.

Pada masa sama, penerima juga dinasihati supaya mematuhi peraturan semasa menuntut BR1M di kaunter-kaunter yang dibuka pada hari terbabit.

Ini bagi memastikan pengagihan bantuan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Advertisement