Anda di sini

Penduduk persoal hutan simpan Bukit Perangin dipindah milik kepada individu

Advertisement

KERAKUSAN MANUSIA: Kelihatan beberapa penduduk Kampung Wang Perah, Mukim Hosba membuat demontrasi secara aman mendesak kerajaan negeri pada semalam menyelamatkan hutan simpan Bukit Perangin seluas 254 hektar yang telah ditukar milik oleh kerajaan terdahulu kepada beberapa individu ketika ditemui di Jitra, semalam. — Gambar Bernama

JITRA: Lebih 200 penduduk kampung Wang Perah, Mukim Hosba dekat sini mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Kedah sebelum ini yang memindah milik kira-kira 254 hektar hutan simpan Bukit Perangin kepada individu tertentu.

Seorang penduduk Ishak Othman, 63, berkata hutan simpan itu tidak sepatutnya diserahkan atau dipindah milik kepada individu-individu untuk pengeluaran balak dan menjadikannya sebagai kawasan pertanian baharu.

“Saya amat kecewa apabila melihat kawasan hutan simpan berhampiran kampung kami ini digondolkan. Sepatutnya kerajaan sebelum ini (di bawah pimpinan PAS) perlu menjaga kepentingan hutan simpan untuk generasi akan datang.

Kerajaan negeri perlu mencari kawasan selain hutan simpan, jika hendak memberikan tanah kepada individu tertentu, katanya ketika ditemui di kawasan pembalakan hutan simpan Bukit Perangin dekat sini semalam.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Wang Perah itu mendakwa penebangan balak bagi membuka kawasan itu juga memusnahkan ekosistem hutan dan turut mencemarkan air sungai.

Ishak mendakwa kerja-kerja penebangan balak dilakukan sejak setahun lepas menyebabkan air takungan daripada paip bekalan air masyarakat yang digunakan sejak sekian lama kotor dan tidak selamat digunakan penduduk.

Katanya penduduk menggunakan bekalan air itu untuk aktiviti harian sekiranya bekalan air bersih yang disalurkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) terganggu akibat tekanan air rendah.

Ishak berkata, penduduk berharap agar kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) sekarang mengambil tindakan sewajarnya bagi membolehkan hutan simpan dijaga dengan baik dan memastikan ia kekal sebagai hutan simpan kekal. — Bernama

Advertisement