Anda di sini

Penduduk mendambakan kemudahan elektrik dan air

Advertisement

MENANTI KEMUDAHAN: Stevenson menunjukkan belum ada kemudahan elektrik yang disambung ke rumah PBR mereka.

Empat keluarga dari Nanga Bilak Dua Sg Bayong merayu bantuan menyambung bekalan elektrik dan air paip

SARIKEI: Empat keluarga dari Nanga Bilak Dua Sungai Bayong, di sini yang menerima bantuan Program Bantuan Rumah (PBR) merayu pihak berkaitan agar menyelesaikan masalah penyambungan elektrik ke rumah mereka.

Pemilik rumah, Stevenson Unggai Ubong, 37, berkata sejak rumahnya siap dibina pada 2009 banyak kemudahan yang seharusnya dinikmati mereka selaku penerima kemudahan tersebut tidak mereka terima berbanding dengan rakan-rakan mereka di kawasan lain yang sudah menikmati kemudahan itu.

“Perkara paling jelas dan dinanti-nantikan kami sejak tinggal di rumah berkenaan ialah bekalan elektrik dan air.

“Kami telah mengemukakan pertanyaan kepada pihak berkaitan mengenai perkara tersebut, namun apa yang kami terima adalah pelbagai jawapan malah mereka menyuruh kami membuat rujukan dari satu pihak ke satu pihak lain.

“Jawapan tersebut diterima dan kami lakukan, namun sehingga kini masih belum menampakkan jawapan seperti yang kami semua harapkan,” kata Stevenson ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, sistem pendawaian di dalam rumah telah siap sewaktu rumah berkenaan diserahkan kepada mereka dan kini mereka hanya menunggu meter serta juga kerja penyambungan elektrik dari tiang utama ke rumah sahaja.

“Hasil kerja keras kami, lima bulan lalu pihak berkaitan dengan pembekalan elektrik telah membawa masuk dan memasang tiang elektrik hingga ke rumah kami dan kini ia betul-betul berada di bawah rumah PBR kami.

“Melihat situasi tersebut, kami cuba mendapatkan permintaan untuk membuat penyambung ke rumah.

“Pihak berkaitan memohon kami mendapatkan meter baharulah mereka dapat menyambung.

“Namun, bagi pemilik rumah berkenaan yang rata-ratanya bekerja sebagai buruh dan petani, kos membeli satu meter elektrik adalah di luar kemampuan mereka,” katanya.

Menurutnya, terdapat pihak tertentu menyarankan kepada mereka mengemukakan pertanyaan kepada kontraktor yang terbabit dengan pembinaan rumah berkenaan untuk mengetahui status sama ada ia termasuk dalam rangkuman kemudahan PBR.

“Kami cuba mendapatkan jawapannya, namun hingga kini usaha itu masih ditangguhkan atas sebab tertentu,” katanya.

Penerima bantuan terbabit turut dibelenggu mendapatkan bekalan air bersih, sedangkan loji perawatan air bersih Gerugu terletak hanya beberapa kilometer sahaja dari rumah mereka.

“Selama ini kami hanya bergantung kepada tadahan air hujan sahaja untuk mendapatkan bekalan air bersih dengan menggunakan tangki 1Malaysia yang diagihkan

“Kami berharap pihak berwajib yang mempunyai kuasa dalam perkara tersebut dapat tampil membantu kami menyelesaikan masalah ini kerana kami amat memerlukan kemudahan tersebut,” katanya.

Empat rumah terbabit terletak di Jalan Bayong iaitu lebih kurang 25 kilometer dari pusat bandar Sarikei.

Advertisement