Anda di sini

Penduduk luar bandar tidak harus terikut-ikut gaya politik bandar

Advertisement

MANYIN

TEBEDU:Penduduk luar bandar tidak seharusnya terikut-ikut dengan tarikan dan gaya politik bandar kerana ia hanya akan meminggirkan mereka daripada arus pembangunan.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata pandangan mengatakan penduduk luar bandar akan terus menikmati pembangunan jika mereka diwakili pembangkang adalah satu kesilapan.

“Realitinya, kawasan luar bandar masih perlu diwakili oleh kerajaan, dengan itu lebih banyak kemudahan dan infrastruktur asas dapat dibina, suatu yang sangat mencabar disebabkan keadaan geografi dan jarak jauh.

“Memang benar kawasan bandar seperti Kuching menikmati banyak pembangunan walaupun di bawah pembangkang.

“Ini kerana Kuching merupakan pusat perniagaan dan pentadbiran bukan kerana ia diwakili pembangkang,” katanya ketika berucap pada satu majlis di Kampung Tubih Behem dekat sini malam kelmarin (Ahad).

Menurut Manyin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu dan naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), ‘politik kasar’ digunakan oleh segelintir ahli politik untuk mempengaruhi pengundi agar mengundi calon pembangkang.

Golongan belia yang bekerja atau belajar di bandar dan terpengaruh dengan ‘politik kasar’ turut memberitahu ibu bapa mereka agar memilih pembangkang, tambahnya.

“Pulau Pinang dan Kuching kini di bawah pembangkang, tetapi kerajaan Barisan Nasional (BN) masih membelanjakan jutaan malah berbilion ringgit untuk menyelenggara bandar-bandar ini kerana ia merupakan ‘pintu utama’ kepada pelawat dan pelabur,” katanya.

Sebagai contoh ujarnya, kerusi DUN Tebedu merupakan kawasan luar bandar yang luas, telah menikmati banyak manfaat di bawah pemerintahan BN, banyak kampung telah disambung dengan sistem jalan raya yang baik, bekalan elektrik dan air.

“Saya ragu perkara seperti ini boleh berlaku jika kawasan ini di bawah pembangkang,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Manyin menasihati golongan belia agar mengikuti latihan kemahiran sekiranya kurang berjaya dalam akademik.

Menurutnya dengan banyak industri berat kini dibuka di Samalaju, Bintulu, permintaan terhadap tenaga kerja mahir dan separa mahir meningkat.

“Ada belia kita yang kurang menyerlah dalam akademik tetapi mereka sangat bagus dalam bidang kerja tangan.

“Kenapa tidak mempertimbang untuk mengikuti latihan kemahiran di peringkat sijil sekurang-kurangnya kerana ia menawarkan pekerjaan dengan pendapatan baik,” katanya.

Hadir sama Pegawai Daerah Serian Sinde Mulling, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Serian Dr Simon Sindang Bada dan Ketua Kaum Kampung Tubih Behem Toyong Sela.

Advertisement