Anda di sini

PDRM kenal pasti pelan hadapi banjir di Beaufort

Advertisement

KOTA KINABALU: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sudah mengenal pasti pelan yang akan dilaksanakan bagi menghadapi banjir besar di daerah Beaufort sekiranya bencana itu melanda pada masa akan datang.

Beliau berkata perancangan berkenaan termasuk aspek pergerakan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan anggota PDRM lebih bersedia melaksanakan tugas menyelamat dan menyalur bantuan kepada mangsa ketika menghadapi bencana banjir.

“Menyelamatkan mangsa merupakan keutamaan kami, juga menghantar bantuan kepada mangsa yang tidak sempat keluar ke pusat pemindahan banjir seperti di kawasan Sungai Padas.

“Jadi kita sudah mengenal pasti lokasi yang kita boleh gunakan aset seperti helikopter, bot dan pasukan penyelamat,” katanya.

Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Pingat Kedaulatan Negara kepada 56 anggota dan pegawai PDRM, 55 daripadanya dari Sabah dan seorang dari Sarawak, yang bertugas semasa Ops Daulat di Lahad Datu dan Semporna, di sini semalam.

Pada majlis itu, Sumiati Suara, balu kepada Allahyarham Sarjan Mejar Baharin Hamit yang terkorban semasa bertempur dengan pengganas di Kampung Simunul, Semporna, pada 1 Mac tahun lepas turut menerima pingat berkenaan.

Menurut Khalid, pelan perancangan menghadapi banjir itu akan dijadikan rujukan bagi menghadapi ancaman banjir besar di daerah lain.

Katanya PDRM juga sudah mengenal pasti beberapa kelemahan semasa melaksanakan operasi menyelamat dan menyalurkan bantuan mangsa banjir di daerah Beaufort baru-baru ini dan ia akan diperbaiki.

Mengenai keselamatan pantai timur Sabah, Khalid berkata PDRM akan membuat pemantauan berterusan bagi memastikan kesiapsiagaan anggota menghadapi sebarang ancaman sentiasa pada tahap tertinggi. — Bernama

Advertisement