Anda di sini

Parti Peace Sarawak sokong Adenan sebagai Ketua Menteri

Advertisement

KUCHING: Parti Peace Sarawak menyatakan soko-ngan penuh terhadap Menteri Tugas-Tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dipilih sebagai Ketua Menteri yang kelima.

Naib Presiden Kanan PPS Mohamad Shamsuddin Mokhtar berkata, pemilihan Adenan yang dinamakan oleh Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai penggantinya adalah tepat dan amat bersesuaian.

“Saya selaku pemimpin PPS serta ahli-ahli kami amat menyokong tindakan Taib mengundur diri dan memberi laluan kepada Adenan sebagai pengganti (Ketua Menteri) baharu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Shamsuddin berkata, rakyat tentunya gembira dengan pemilihan Adenan sebagai peneraju kepimpinan negeri kerana Sarawak ketika ini dalam suasana aman, makmur dan harmoni.

Katanya Adenan diyakini mampu meneruskan kesinambungan serta gagasan pembangunan di landasan kukuh yang dirangka di bawah kepimpinan Taib yang berkonsepkan politik pembangunan.

“Kami amat percaya pemilihan Adenan adalah wajar kerana beliau (Adenan) merupakan seorang menteri yang berpengalaman luas di peringkat negeri dan persekutuan,” ujarnya.

Malah katanya, tanggungjawab Adenan sebagai Ketua Menteri akan mudah dipikulnya nanti kerana beliau juga mendapat sokongan dan keyakinan tinggi daripada menteri-menteri kabinet negeri dan persekutuan.

“Kami percaya pelantikan Adenan sebagai Ketua Menteri pada 28 Februari ini merupakan satu lagi sejarah yang tercatat bagi rakyat negeri ini dalam pentadbiran Sarawak,” katanya.

Advertisement