Anda di sini

Olivia buat kejutan raih emas, perak Kejohanan Gimnastik Berirama Remaja Asia ke-13

Advertisement

KUALA LUMPUR: Gimnas negara, Olivia Tai Qing Tong membuat kejutan dengan meraih pingat emas bagi acara individu apparatus belantan pada Kejohanan Gimnastik Berirama Remaja Asia ke-13 di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini semalam.

Kelincahan Olivia Tai dalam persembahannya berjaya menarik perhatian juri dengan catatan mata tertinggi, 14.500 mata mengetepikan pencabar terdekatnya dari Kazakhstan, Yelizaveta Mainovskaya di tempat kedua dengan 14.350 mata.

Anora Davlyatova dari Uzbekistan dan Takana Tatsuzawa dari Jepun berkongsi pingat gangsa dengan masing-masing memungut 14.300 mata.

Dalam pada itu, Olivia, 15, menambah satu lagi pingat apabila meraih perak bagi acara individu apparatus riben dengan pungutan 14.150 mata.

Takana Tatsuzawa dari Jepun meraih pingat emas dengan pungutan mata tertinggi iaitu 14.300 sementara pingat gangsa milik Anora Davlyatova dari Uzbekistan dengan 13.900 mata.

“Kemenangan satu pingat emas dan perak ini memang kejutan buat diri saya, selepas gagal meraih kedudukan terbaik pada acara akhir apparatus gelung.

“Kejayaan ini adalah usaha saya dan jurulatih selama ini. Saya berharap dapat layak ke Sukan Olimpik Remaja di Nanjing, China pada Ogos,” katanya.

Dalam acara akhir individu apparatus gelung, Olivia Tai menduduki tempat keenam dengan pungutan 12.750 mata.

Pingat emas dimenangi oleh Veronika Lyssogor dari Kazakhstan (14.600), pingat perak milik Nilufar Shomuradova dari Uzbekistan (14.250) manakala gangsa diraih Yelizaveta Mainovskaya dari Kazakhstan (13.950). — Bernama

Advertisement