Anda di sini

MCA perlu bincang dengan Najib keputusan terima jawatan kerajaan

SEREMBAN: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata MCA perlu berbincang dengan Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai keputusan parti itu untuk menerima semula jawatan kerajaan di semua peringkat.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan bagaimanapun berkata, MCA tidak perlu tergopoh-gopoh hendak mengisi jawatan dalam kerajaan.

“Dalam perkara itu, kita sesama Barisan Nasional (BN) tidak menjadi masalah.

Saya serahkan kepada MCA untuk menentukan dan membincangkannya dengan Perdana Menteri.

“Itu memang keputusan dan tanggungjawab pucuk pimpinan, tetapi saya tahu dan saya sempat berbincang dengan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai lebih awal lagi,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Hishammuddin ditemui selepas melancarkan National Blue Ocean Strategy (NBOS) Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) di Kem PLKN Seri Perkasa, Mantin dekat sini.

Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA kelmarin meluluskan resolusi untuk menerima semula jawatan kerajaan di semua peringkat, yang membuka laluan bagi parti itu kembali ke Kabinet.

Hishammuddin berkata beliau turut merasa lega untuk ‘melepaskan’ portfolio Kementerian Pengangkutan yang dipegangnya sejak beberapa bulan lepas.

“Sekurang-kurangnya dalam beberapa bulan saya memimpin apa juga keputusan, kita telah pun meninstitusikan beberapa kaedah yang perlu kita lihat.

“Seperti trajedi bas jatuh gaung di Genting Highlands, jalan penyelesaian untuk kamera AES, jalan penyelesaian untuk memastikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) siap dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan semangat baharunya.

“Jadi, banyak telah kita lakukan di Kementerian Pengangkutan dan banyak lagi yang perlu dilihat dari segi dasar udara dan maritim,” katanya. — Bernama