Anda di sini

Masa untuk menyerang persepsi dan kebencian terhadap UMNO

PERASMIAN: Ahmad Zahid (tiga kanan) , Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron (empat kiri) dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (dua kanan) bersama-sama memotong kek perasmian ketika hadir pada majlis jamuan makan Malam Amal Perdana Bersama Pemimpin anjuran Majlis Veteran UMNO Melaka, di Melaka, kelmarin. — Gambar Bernama

MELAKA: Anggota dan pemimpin UMNO disaran supaya bangkit menyerang persepsi negatif dan dakyah kebencian yang ditanam pihak pembangkang kepada rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata budaya kebencian terhadap UMNO dan BN telah ditanam oleh pembangkang sejak pilihan raya umum 2008 dengan slogan ‘ABU’ (Asal Bukan UMNO) dan ‘ABN’ (Asal Bukan BN).

“Kita tidak harus berdiam diri sebaliknya menyerang berlandaskan fakta dan hujah yang benar,” katanya pada majlis Malam Amal Perdana Bersama Pemimpin di Bukit Katil, di sini malam kelmarin.

Beliau berkata persepsi yang ditanam terhadap UMNO dan BN seolah-olah mereka bukan lagi pemegang tampuk kuasa yang relevan.

“Apabila kebencian telah ditanam sekian lama, kita mesti berani melakukan hujahan serangan yang bukan bersifat peribadi tetapi berlandaskan fakta-fakta bagi membetulkan persepsi bahawa kita dianggap salah, dengan kebencian yang ditanam dalam kalangan audiens iaitu para pengundi,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata terdapat anggota dan pemimpin UMNO serta BN yang berdiam diri kerana komitmen dan iltizam yang terlalu tipis dalam melakukan serangan balas kepada pembangkang malahan ada yang ‘menambah’ kepada perbezaan pendapat itu.

“Dengan kuasa yang terhakis di peringkat nasional dan sebahagian negeri-negeri, ini merupakan ujian buat kita dalam perang saraf ini. Pertahanan yang terbaik ialah kita melakukan serangan pula kepada pembangkang,” katanya.

Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Veteran UMNO Melaka itu dihadiri lebih 1,000 anggota parti termasuk Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir. — Bernama