Anda di sini

Lebih 300 kes buli siber dilaporkan tahun lepas

Advertisement

Kongsi maklumat peribadi antara faktor peningkatan kes

MELAKA: Sebanyak 389 kes buli siber dilaporkan oleh pengguna Internet melalui Pusat Bantuan Cyber999 sepanjang tahun lepas, meningkat 55.6 peratus berbanding 250 kes pada 2012.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata sikap pengguna Internet yang suka berkongsi maklumat peribadi terutama kata laluan di laman sosial dikenal pasti antara faktor utama peningkatan kes buli siber itu.

“Mesej yang dihantar melalui akaun yang diceroboh terutama melibatkan unsur negatif akan merosakkan reputasi pemilik sebenar akaun terbabit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Hari Keselamatan Internet 2014 di sini semalam.

Beliau berkata kementeriannya melalui CyberSecurity Malaysia melaksanakan pelbagai program bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada pengguna Internet terutama pelajar sekolah termasuk penganjuran sambutan Hari Keselamatan Internet pada setiap tahun sejak 2010.

Katanya, sambutan itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat supaya lebih bertanggungjawab apabila berada di alam siber dan melayari Internet.

Pada majlis itu juga Abu Bakar melancarkan ‘Buku Panduan Keselamatan Siber: Buli Siber’ yang diterbitkan CyberSecurity Malaysia bagi memberi maklumat kepada orang ramai mengenai ancaman buli siber dan cara mengatasinya.

Beliau berkata buku berhalaman 19 muka surat itu diterbitkan berdasarkan kajian melibatkan 9,651 pelajar dari 459 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara yang dijalankan antara CyberSecurity Malaysia, Kementerian Pendidikan dan DiGi Telecommunication Sdn Bhd pada 2013.

“Hasil kajian itu mendapati 13 peratus daripada responden iaitu 1,255 pelajar mengaku sedang menjadi mangsa buli siber manakala 26 peratus atau 2,509 mengaku pernah menjadi mangsa buli siber,” katanya.

Abu Bakar berkata buku itu akan diedarkan kepada orang ramai secara percuma dan pihaknya menyasarkan untuk bertemu 20,000 pelajar sekolah tahun ini bagi memberi pendedahan berhubung kejadian buli siber. — Bernama

Advertisement