Anda di sini

Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan jalin kerjasama

Advertisement

SEREMBAN: Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan akan mewujudkan kerjasama rapat dalam bidang penerbangan terutama berhubung aspek pertahanan dan keselamatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan berkata masanya telah tiba untuk kedua-dua kementerian menjalin kerjasama untuk menghadapi cabaran akan datang.

“Oleh kerana saya pegang dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan, satu-satunya legasi yang saya nak lihat ialah kerjasama yang rapat di antara Kementerian Pengangkutan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Saya sedang memikirkan cara bagaimana kita boleh carikan jawatan tetap daripada TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) dalam Jabatan Penerbangan Awam,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) di Kem PLKN Seri Perkasa, Mantin dekat sini, semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Dr Ismail Ahmad, Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dan Panglima 3 Divisyen Mej Jen Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan.

Hishammuddin berkata jika polis dan tentera boleh mengadakan kerjasama, tidak mustahil Kementerian Pertahanan dan Jabatan Penerbangan Awam boleh menjalin kerjasama yang serupa.

Sementara itu, katanya kerajaan memperkenalkan kerjasama strategik pelbagai jabatan dan agensi melalui NBOS yang bukan sahaja memberikan impak tinggi kepada masyarakat malah dapat menjimatkan perbelanjaan negara.

Beliau berkata usaha meletakkan PLKN di bawah NBOS merupakan transformasi penting dalam memastikan program itu kekal relevan selain mengelakkan pembaziran.

Katanya terdapat empat inisiatif dilaksanakan JLKN di bawah NBOS iaitu sukarelawan khidmat komuniti, sukarelawan Sukan Malaysia, sukarelawan pelancongan dan sukarelawan keselamatan jalan raya yang akan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi.

“Sempena pelancaran hari ini, dengan rasminya bermulalah program khidmat komuniti di 79 kem PLKN di seluruh negara bagi tahun ini yang bakal menyaksikan penglibatan 39,000 anggota Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) di seluruh negara.

“Melalui keempat-empat inisiatif ini, JLKN melalui BSKN, pelatih PLKN dan skuad muda JLKN akan melaksanakan dan melibatkan diri dalam program kesukarelaan di bawah NBOS,” kata Hishammuddin. — Bernama

Advertisement