Anda di sini

Informasi Malaysia mahu KPDNKK ambil alih program KDR1M

Advertisement

RINGAN BEBAN RAKYAT: Petugas Informasi Malaysia, Nur Fadillah Wonbran menunjukkan Kad Diskaun Rakyat 1Malaysia selepas sidang media di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Informasi Malaysia, selaku penerbit Kad Diskaun Rakyat 1Malaysia (KDR1M) menyarankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil alih program itu demi kepentingan rakyat.

Pengerusinya Datuk Abd Rahman Manan berkata program itu tidak dapat diteruskan pihaknya apabila kerajaan bersetuju memberikan kad tersebut secara percuma sejak Mei tahun lalu.

Katanya, sebelum itu Informasi Malaysia mengenakan yuran pendaftaran RM30 untuk membolehkan orang ramai menikmati diskaun antara 5 hingga 50 peratus bagi 74 jenis perkhidmatan di 7,000 syarikat di seluruh negara.

“Kita sudah edarkan sebanyak 10,000 kad sejak KDR1M dilancarkan tetapi apabila kerajaan nak bagi kad itu secara percuma, kita tak boleh edarkan kad itu lagi.

“Jadi hari ini (semalam) kita mengadakan perjumpaan dengan menteri agar KPDNKK mengambil alih dan meneruskan program itu,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Program KDR1M dilancarkan pada 28 Mac 2013 dengan menyasarkan mengeluarkan lebih 10 juta kad dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat.

KDR1M merangkumi perkhidmatan perubatan klinik; restoran makanan & minuman; hotel penginapan; arena sukan & kecergasan; pemborong & runcit; taman tema tertutup & luar; pembinaan & hiasan dalaman; resort peranginan; pakaian & aksesori kenderaan; perlindungan insurans am dan sebagainya. — Bernama

Advertisement