Anda di sini

Iktiraf Taib sebagai ‘Bapa Pemodenan dan Bapa Pembangunan Sarawak’: Ali

Advertisement

TRADISI: Dr Jerip bersama tetamu kehormat menggaul ‘Yee Sang’ sebagai simbolik perasmian Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Masyarakat Jalan Muara Tuang.

KOTA SAMARAHAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datu Seri Mohammad Ali Mahmud mencadangkan agar Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud diiktiraf sebagai ‘Bapa Pemodenan dan Bapa Pembangunan Sarawak’.

Adik kepada Ketua Menteri itu berkata, pengiktirafan tersebut mengambil kira jasa Taib yang cukup besar kepada negeri ini.

“Kita mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya memberi pengiktirafan ‘Bapa Pemodenan dan Bapa Pembangunan Sarawak’ kepada Ketua Menteri sebagai mengenang jasa dan pengorbanan beliau kepada Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Masyarakat Jalan Muara Tuang di sini malam kelmarin.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil yang merupakan tetamu kehormat dan Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang.

Mohammad Ali memberitahu bahawa Taib banyak menyumbang idea dan pemikiran bagi memajukan Sarawak sepanjang berkhidmat kepada rakyat selama 52 tahun sebagai wakil rakyat dan Ketua Menteri.

“Sebelum ini pun Pehin Sri Taib telah beberapa kali mengumumkan akan berundur sebagai Ketua Menteri, tetapi memikirkan rakyat masih memerlukan kepimpinannya beliau membatalkan hasrat itu,” tambahnya.

Menurutnya, keputusan Taib untuk mengundur diri selaku Ketua Menteri setelah memegang tampuk pemerintahan selama 33 tahun harus dihormati.

“Beliau (Taib) telah membisikkan kepada saya biarlah dia berundur masa masih sihat, kita menghormati keputusannya,” katanya sambil menambah meskipun bersara dalam arena politik hati dan jiwa Taib tetap bersama rakyat.

Menyentuh pelantikan Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem sebagai Ketua Menteri yang baharu, beliau berkata pemilihan Adenan adalah keputusan yang tepat berdasarkan pengalamannya yang cukup luas.

“Adenan bukanlah orang asing bagi rakyat di negeri ini, beliau sudah menjadi wakil rakyat selama 24 tahun, pernah berkhidmat dengan kerajaan pusat dan cukup rapat dengan Pehin Sri,” ujarnya.

Katanya berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki Adenan, beliau cukup yakin Adenan mampu membawa Sarawak mencapai pembangunan ke tahap yang lebih tinggi.

Pada majlis itu beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada persatuan berkenaan, Datuk Dr Jerip Susil turut menyumbang RM10,000 manakala Rubiah menyumbang RM5,000.

Advertisement