
BUAH TANGAN: Kamsani menyampaikan cenderamata kepada Awang Tengah. Turut kelihatan Morshidi (kanan).
Banyak adakan kerjasama, perbincangan bersama bangunkan ekonomi kedua-dua negara
KUCHING: Hubungan dua hala antara Malaysia khususnya Sarawak dengan Brunei Darussalam sentiasa kukuh menerusi kerjasama erat dalam pelbagai sektor.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Malaysia melalui Sarawak dan Brunei telah banyak mengadakan kerjasama dan perbincangan bersama untuk membangunkan ekonomi kedua-dua negara.
Menteri Pembangunan Perindustrian itu memberitahu bahawa Kerajaan Brunei menunjukkan minat dalam sektor tenaga hidro yang dibangunkan di negeri ini.
“Kita mempunyai hubungan yang begitu rapat sekali bukan sahaja antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Brunei tetapi juga hubungan antara rakyat Malaysia dengan rakyat Brunei khususnya negeri Sarawak.
“Kita juga telah mengadakan banyak perbincangan dengan Brunei yang mana mereka menunjukkan minat dalam sektor tenaga dan mahu terlibat sama dalam pembangunan hidro yang akan dilaksanakan di Lawas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Resepsi sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di Hotel Riverside di sini malam kelmarin.
Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam berkata, dalam sektor pelancongan pula Sarawak dan Brunei telah menubuhkan jawatankuasa kerja untuk menganjurkan pelbagai acara yang dikendalikan secara bergilir.
Selain itu, menurutnya, sektor komunikasi juga telah dibangunkan dengan menggunakan gentian optik bagi meningkatkan sistem perhubungan dua negara.
“Kita juga akan merancang bagaimana mengadakan kerjasama untuk kegunaan peringkat antarabangsa dalam bidang telekomunikasi ini,” tambahnya.
Malah, beliau memberitahu perhubungan Malaysia dan Brunei juga dikukuhkan melalui kerjasama dalam sektor pertanian khasnya menerusi penghasilan produk makanan halah di Hab Halal Tanjung Manis.
“Brunei dari segi jenama halal amat kukuh, kita boleh jadikan Limbang, Lawas dan Miri sebagai pusat penghasilan, dengan itu kita boleh memanfaatkan jaringan perhubungan yang luas ini.
“Kita mungkin pasarkan produk kita melalui Brunei kerana mereka juga berminat untuk melihat bagaimana mereka dapat terlibat dalam industri halal kita khasnya dalam penghasilan produk makanan,” ujarnya.
Hadir sama Konsul Jeneral Negara Brunei Darussalam Kamsani Noordin bersama isterinya Pengiran Kartini Pengiran Tahir, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani, menteri-menteri muda dan tetamu kehormat lain.