Anda di sini

Dasar kesamarataan berbilang kaum akan kekal

Advertisement

ULANG TAHUN: Taib dan Ragad bersama tetamu lain memotong kek sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-35 Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching dan Samarahan. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

Dasar jaga hak masyarakat berbilang kaum tak akan berubah di bawah pimpinan Adenan

KUCHING: Dasar kerajaan negeri yang menjaga hak masyarakat berbilang kaum secara sama rata tidak akan berubah di bawah kepimpinan Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, ini kerana Adenan yang bakal menjadi Ketua Menteri kelima mempunyai banyak pengalaman kerana bersama-sama mentadbir negeri ini.

Menurutnya, peralihan kuasa yang berlaku akan berjalan lancar dan setiap kaum sudah tentu akan terus mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan.

“Saya akan menyerahkan tanggungjawab sebagai Ketua Menteri kepada Adenan…jadi masyarakat berbilang kaum di negeri ini tidak perlu berasa bimbang.

“Sebagai orang yang bersama-sama saya mentadbir negeri ini, saya yakin Adenan akan meneruskan dasar yang mengutamakan masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Penghargaan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-35 Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching dan Samarahan di sini, malam kelmarin.

Sehubungan itu Taib mahu masyarakat berbilang kaum di Sarawak memberi sokongan dan peluang kepada Adenan untuk mentadbir negeri ini.

“Saya harap semua kaum dapat beri peluang kepada kepimpinan baharu untuk mentadbir.

“Apa yang pasti semua kaum akan terus mendapat pembelaan sewajarnya biarpun pucuk kepimpinan negeri bertukar,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, hubungan kukuh masyarakat berbilang kaum di negeri ini banyak didorong keyakinan terhadap organisasi dan kepimpinan negeri.

“Keadaan ini menyebabkan kita (masyarakat berbilang kaum) mudah untuk berhubung,” jelasnya.

Malah tambahnya, setiap kaum di negeri ini juga mempunyai kepentingan dari segi peluang pekerjaan dalam sektor awam.

“Dalam sektor awam negeri, semua kaum ada bekerja dan ini menunjukkan kita memajukan negeri ini bukan berpaksikan kepada satu kaum sahaja sebaliknya semua kaum menyumbang kepada pembangunan,” kata Taib.

Pada majlis itu, Taib mengumumkan geran berjumlah RM100,000 kepada Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching dan Samarahan.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh serta Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching dan Samarahan Temenggung Lu Kim Yong.

Advertisement