Anda di sini

Catuan air di seluruh Selangor mulai hari ini

Advertisement

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor akan melaksanakan program catuan air secara bergilir di seluruh negeri mulai hari ini bagi menyeimbangkan penyaluran air di kawasan yang mengalami gangguan bekalan sejak 7 Feb lepas.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata melalui program itu kawasan yang terbabit akan mendapat bekalan air selama dua hari diikuti catuan bagi dua hari berikutnya.

“Menerusi program catuan ini, kita janji setiap pengguna akan dapat bekalan air cuma ia akan dicatu iaitu penyaluran bekalan air dilakukan selama dua hari dan dua hari (berikutnya) tiada air dan seterusnya.

“Sekurang-kurangnya dalam seminggu, empat hari pengguna akan dapat air sepenuhnya dan catuan akan berlarutan sehingga ke suatu masa yang kita rasa sesuai untuk hentikannya iaitu apabila musim hujan bermula, dijangka akhir Mac,” katanya selepas menghadiri perjumpaan bulanan penjawat awam di sini semalam.

Beliau berkata program catuan air dilakukan bagi mengekalkan jumlah air sedia ada di empangan di negeri ini supaya ia dapat bertahan untuk dua bulan akan datang seandainya musim panas terus berlarutan.

Abdul Khalid berkata jika musim hujan tiba lebih awal, catuan itu akan dihentikan dan pihaknya akan memaklumkan keadaan sebenar krisis air pada pertengahan Mac depan untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata menerusi program catuan itu, kawasan di Selangor akan dibahagikan kepada dua zon dan notis terperinci berkenaan pencatuan bekalan air mengikut kawasan itu akan dikeluarkan selewat-lewatnya petang ini untuk hebahan lanjut.

Tambahnya, kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan di kawasan yang teruk terjejas bekalan iaitu di sekitar loji Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi untuk mencari jalan terbaik membantu meringankan beban masyarakat yang mengalami kekurangan bekalan air.

Justeru, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya menggunakan air sewajarnya dan menyimpan air mengikut keperluan bagi mengelak kekurangan bekalan selain mengurangkan aktiviti yang boleh membazirkan bekalan itu dalam keadaan cuaca yang panas dan kering sekarang. — Bernama

Advertisement