
DIALOG: Isak (kiri) bersama ahli POCPMS mengadakan dialog dengan beberapa agensi kerajaan di Kuching, semalam.
Agensi kerajaan dan swasta di negeri ini dituntut menyediakan sekurang-kurangnya 1 peratus peluang pekerjaan kepada OKU
KUCHING: Setiap agensi kerajaan atau swasta di negeri ini dituntut menyediakan sekurang-kurangnya satu peratus peluang pekerjaan kepada orang kurang upaya (OKU).
Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Sarawak (POCPMS) Isak Ngau berkata dasar berkenaan amat diperlukan bagi membantu golongan berkenaan hidup berdikari.
“Ramai di kalangan OKU di Sarawak misalnya orang buta merupakan pencari pekerjaan.
“Justeru, dengan hanya menyediakan satu peratus peluang pekerjaan, akan sedikit sebanyak membantu dalam kehidupan mereka,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Beliau ditemu bual pada Majlis Dialog Antara POCPMS dengan agensi kerajaan tentang pelaksanaan dasar peluang pekerjaan kepada kumpulan OKU di sini.
Sehubungan itu, Isak berharap agar penetapan dasar satu peratus peluang pekerja-an kepada OKU akan dapat dilaksanakan di Sarawak sama ada melibatkan sektor awam atau swasta.
“Sasaran kami ialah mencapai dasar ini di setiap jabatan kerajaan mengikut pekeliling yang telah diaktakan pada 2010 termasuk dalam sektor swasta,” katanya.
Justeru, Isak berkata dialog POCPMS bersama agensi kerajaan semalam merupakan usaha permulaan yang dijalankan bagi mencapai dasar berkenaan.
Hadir pada dialog tersebut ialah wakil-wakil Jabatan Kebajikan Masyara-kat (JKM) Negeri, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Baitulmal, SUHAKAM, UNIMAS, Lembaga Lada Malaysia dan Lembaga Koko Malaysia serta 12 pencari pekerjaan OKU yang terdiri daripada ahli POCPMS.
“Melalui dialog ini, kumpulan pencari pekerjaan ini telah dapat mendengar daripada agensi-agensi terlibat mengenai apa kelayakan yang diperlukan untuk sesuatu pekerjaan.
“Ini sekali gus memberi-kan mereka persediaan untuk menghadapi sesuatu pekerjaan selain memahami dan peka dengan situasi,” kata Isak sambil menambah sesi dialog seterusnya akan diadakan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dalam masa terdekat.
POCPMS ditubuhkan pada 1986 dan kini mempunyai lebih 260 ahli.