Anda di sini

Belia wanita harus mempelajari silat

Advertisement

CERIA: Simoi (berdiri tengah) bergambar kenangan bersama ahli Persatuan Seni Pencak Silat Pedang, Kampung Hilir selepas berakhirnya program berkenaan kelmarin.

Ia sebagai salah satu usaha untuk mempertahankan diri daripada perkara tidak diingini

SRI AMAN: Golongan muda terutama belia wanita di negeri ini diseru mempelajari seni mempertahankan diri seperti silat sebagai salah satu usaha untuk mempertahankan diri daripada perkara yang tidak diingini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri berkata, silat bukan hanya terkenal di Nusantara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Kemboja, Singapura dan Thailand tetapi negara luar dan barat turut berminat dengan seni ini seperti Jerman, Australia dan Amerika Syarikat.

“Usaha mereka ini mengembangkan silat sangat dipuji kerana kebanyakan anak muda di negara tersebut berminat dengan ilmu ini dan tidak kurang juga di negara kita Malaysia ini.

“Oleh itu, kerajaan amat menggalakkan anak-anak muda di negeri ini menyertai mana-mana persatuan seni silat kerana penyertaan golongan ini dalam persatuan berkenaan adalah untuk tujuan yang sihat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-25, Persatuan Seni Pencak Silat Pedang, Kampung Hilir di Dewan Serba Guna Kampung Hilir dekat sini kelmarin.

Terdahulu, majlis sambutan ulang tahun persatuan berkenaan dirasmikan oleh Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis.

Justeru, kerajaan mengharapkan agar ahli-ahli persatuan silat tidak menyalahgunakan ilmu mereka secara sesuka hati sebaliknya ia adalah untuk mempertahankan diri,” jelasnya.

Turut hadir Residen Sosial Bahagian Sri Aman Hamdan Katang, Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Daerah Sri Aman Hendry Kran, Pemanca Mas Shamsiah Maslem serta Pengerusi Persatuan Hamdan Mat dan Guru Silat Sarawak Haneef Ali.

Pada majlis berkenaan, Harden turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM 6,000 kepada persatuan berkenaan bagi membiayai aktiviti tahunan mereka.

Advertisement