Anda di sini

ANGKASA tiada kuasa gantung Mustapa Kamal

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas memutuskan bahawa Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggantung bekas Naib Yang Dipertuanya Datuk Seri Mustapa Kamal Maulut daripada menyertai mana-mana persidangan atau mesyuarat koperasi itu bagi tempoh lima tahun.

Hakim Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal Mustapa Kamal ketika mendengar saman pemula ANGKASA.

Dalam penghakimannya, Zaleha berkata ANGKASA tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian kerana Mustapa Kamal bukan anggota badan berkenaan dan pertuduhan terhadap Pengerusi Koperasi Ukhwah Malaysia Berhad itu juga tidak terdapat dalam mana-mana Undang-Undang Kecil ANGKASA.

Beliau turut mengarahkan ANGKASA membayar kos sebanyak RM6,000.

ANGKASA memfailkan saman pemula berikutan keputusan Tribunal Suruhanjaya Koperasi Malaysia bahawa badan itu tidak mempunyai bidang kuasa melucutkan hak Mustapa Kamal daripada menyertai mana-mana persidangan atau mesyuarat ANGKASA selama tempoh lima tahun berkuat kuasa pada 25 Ogos 2010 kerana beliau bukan anggota ANGKASA.

Pengerusi tribunal itu Hamidun Abdul Fatah turut memutuskan bahawa ANGKASA gagal mensabitkan Mustapa Kamal dengan kesalahan yang didakwa dilakukannya, termasuk menyogok anggota jawatankuasa perhubungan badan berkenaan dengan niat mempengaruhi mereka agar mengundi beliau sebagai Yang Dipertua pada Persidangan Kebangsaan Tahunan ANGKASA (PKTA) ke-26.

Dalam saman pemulanya, ANGKASA mendakwa tribunal berkenaan membuat keputusan yang salah atau bertentangan dengan fakta, oleh itu, adalah terbatal dan perlu diketepikan.

Sementara itu, Mustapa Kamal ketika ditemui pemberita berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada anggota Koperasi di seluruh Malaysia kerana menyokongnya.

“Angkasa akan mengadakan PKTA pada 31 Mei ini dan keputusan mahkamah hari ini memberi peluang untuk saya menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden ANGKASA,” katanya.

Angkasa diwakili peguam S.Bindusha manakala Mustapa Kamal diwakili peguam Mahfuzah Mohd Faizi dan Raja Norhajjah Raja Ahmad Shaari Ramozan. — Bernama

Advertisement