Anda di sini

Agong dan Permaisuri hadiri majlis santapan Yayasan Sultanah Bahiyah

Advertisement

BERANGKAT TIBA: Tuanku Abdul Halim bersalaman dengan Tunku Puteri Intan Shafinaz yang juga Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) pada Majlis Bergambar dan Santapan Tengah Hari sempena Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan itu di Istana Negara semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari bersama ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) Di Istana Negara, di sini semalam.

Turut berangkat Pengerusi YSB Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim yang juga Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Pada majlis itu baginda berdua berkenan menghadiri sesi bergambar bersama ahli lembaga yayasan itu.

Tuanku Abdul Halim yang merupakan Penaung YSB turut berkenan menerima cenderamata daripada yayasan itu yang disampaikan oleh Tunku Puteri Intan Safinaz.

Sementara itu, Pengurus Perhubungan Awam YSB Muhammad Izzat Jamaludin ketika ditemui Bernama berkata majlis itu diadakan sempena mesyuarat agung tahunan yayasan itu pagi ini bagi melantik semula ahli lembaga amanah YSB bagi tahun 2014.

Selain itu, katanya mesyuarat itu turut membincangkan cadangan pembukaan Rumah Titian Kasih bagi warga emas yang dijangka akan dibuka pada awal tahun 2015 dengan anggaran kira-kira RM300,000 di Alor Setar, Kedah.

Menurutnya, rumah kebajikan yang dianggarkan boleh memuatkan kira-kira 100 orang warga emas itu terbuka kepada mereka berumur 60 tahun ke atas.

Muhammad Izzat berkata, rumah kebajikan itu menyediakan pelbagai kemudahan kepada warga emas yang tinggal bersendirian dan kesunyian, menjalankan aktiviti sosial serta riadah bersama rakan sebaya mereka. — Bernama

Advertisement