Anda di sini

Tuai Rumah Linus dipilih semula pengerusi PTRS 2014-2016

Advertisement

BARISAN BAHARU: Ahli Jawatankuasa PTRS baharu bagi sesi 2014-2016 diketuai Linus (duduk, lima kiri). Turut kelihatan Andrew (duduk, enam kiri) di Sibu kelmarin.

SIBU: Tuai Rumah Linus Melin Lembang dipilih semula sebagai pengerusi Persatuan Tuai Rumah Sibu (PTRS) bagi sesi 2014 hingga 2016.

Beliau dipilih semula pada Mesyuarat Agung Tahunan PTRS kelmarin yang turut menyaksikan Tuai Rumah Johnathan Ebang dipilih sebagai timbalan pengerusi.

Dua naib pengerusi masing-masing disandang oleh Tuai Rumah Chendang Ambau dan Tuai Rumah Sebastian Onggoh.

Jawatan setiausaha pula dimenangi oleh Tuai Rumah Peter Tinggum Santap sementara timbalan setiausaha disandang Tuai Rumah Dieo Kayan.

Tuai Rumah Charles Egat Awen dan Tuai Rumah Maling Banta masing-masing menyandang jawatan bendahari dan penolong bendahari.

Ahli jawatankuasa yang lain terdiri daripada Tuai Rumah Umpang Wanta, Tuai Rumah Jimbun James Semilan, Tuai Rumah Changkul Giman, Tuai Rumah Joseph Jarrau Belikau, Tuai Rumah Ukar Senin, Tuai Rumah Catherina Tamoh, Tuai Rumah Wih Kelupuk, Tuai Rumah Sijah Ejut dan Tuai Rumah Everly Bajut.

Penasihat merangkap penaung PTRS ialah Andrew Shilling Banggit.

Dalam pada itu, Linus berharap tuai-tuai rumah yang masih belum menyertai PTRS agar berbuat demikian dengan segera demi kebaikan bersama.

Katanya, masih ramai tuai rumah di Parlimen Sibu dan Lanang yang masih belum menjadi ahli PTRS.

“Sehingga kini, lebih kurang 150 tuai rumah daripada 359 tuai rumah di Sibu dan Lanang menyertai persatuan berkenaan.

“Lebih separuh tuai rumah belum menyertai PTRS,” ujar beliau.

Ditanya mengenai sebab mengapa masih ramai tuai rumah belum menyertai PTRS, Linus berkata ia mungkin disebabkan tuai-tuai rumah ini tidak tahu perjuangan atau tujuan persatuan itu.

Sebab lain, mungkin tuai rumah terbabit tidak faham akan kebaikan atau faedah apabila mereka menjadi ahli persatuan.

“Bagaimanapun, semakin ramai tuai rumah kini sedar akan faedah menyertai PTRS,” jelasnya sambil memberitahu bahawa yuran kemasukan dinaikkan daripada RM20 kepada RM30 sementara yuran tahunan dinaikkan daripada RM12 kepada RM15 setahun.

Linus juga memberitahu, persatuan akan menjalankan pelbagai aktiviti tahun termasuk seminar bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat berhubung pencegahan kebakaran melibatkan rumah-rumah panjang.

Seminar itu kemungkinan dianjurkan selepas sambutan Gawai Dayak.

Advertisement