Anda di sini

SUPP Serian tidak mahu bergabung dengan SPDP

Advertisement

SERIAN: Ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Serian menentang sekeras- kerasnya cadangan pihak tertentu untuk menggabungkan SUPP dengan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Pengerusi SUPP Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata subjek itu telah dibincangkan semasa mesyuarat cawangan mereka semalam dan ahli-ahli telah menyatakan bantahan kuat terhadap penggabungan itu.

“Kami tidak mahu bergabung dengan SPDP. Kami telah membincangkan lebih awal (semasa mesyuarat) dan SUPP Cawangan Serian kuat membantah penggabungan ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat cawangan itu di sini semalam.

Riot yang juga Ahli Parlimen Serian menyatakan bahawa ahli cawangan itu percaya bahawa penggabungan itu tidak perlu kerana parti itu akan menjadi kuat semula.

Ketika ditanya sama ada terdapat apa-apa kebenaran dalam penggabungan itu, Riot berkata beliau lebih suka untuk meninggalkan soalan berkenaan untuk dijawab oleh Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin dan Timbalan Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing.

Pada peringkat cawangan, beliau berkata anggota SUPP Cawangan Serian telah berikrar untuk memastikan bahawa cawangan itu akan menjadi semakin kuat.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata gembira kerana cawangan itu kini mempunyai kira-kira 4,000 ahli dan sejak mesyuarat yang lepas, mereka berjaya mengambil kira-kira 800 ahli baharu.

“Kita sedang memperbaiki parti dan mereka telah bersetuju tadi bahawa kita tidak akan menjadi lemah dengan krisis yang berlaku dalam parti sekarang,” katanya menambah.

Beliau berkata semangat tinggi yang ditunjukkan oleh ahli akan berubah dengan pembaharuan baju seragam parti itu yang menandakan semangat baharu dalam parti, yang turut disertakan logo BN dan SUPP.

“Kami sudah sangat kuat sekarang ditambah dengan kemenangan pada Pilihan Raya Umum lepas dengan 13,000 majoriti.

“Tidak mudah untuk kita mendapatkannya tetapi kita ingin menjadi lebih kuat lagi,” katanya Sementara itu, Riot mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang akan meletak jawatan pada 28 Februari ini selepas menyumbang kepada pembangunan Sarawak selama 33 tahun.

Riot berharap Taib akan terus membantu negara dalam menasihati pentadbiran kerajaan negeri walaupun pelantikan Ketua Menteri baharu akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau juga mengalu-alukan Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem yang akan menggantikan tempat Taib sebagai Ketua Menteri.

Advertisement