Anda di sini

SUPP bantu pemohon BR1M periksa status permohonan: Tan Kai

Advertisement

KUCHING: Kakitangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kini dalam usaha membantu pemohon layak bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 dapat memeriksa status permohonan melalui laman sesawang http://www.supp.org.my.

Sehubungan itu, Ketua Pemuda SUPP Pusat Tan Kai mahu orang ramai bertenang dan sabar menunggu sementara kakitangan sedang berusaha ke arah berkenaan.

“Kami cuba yang terbaik untuk menyusun data dan membuat ia boleh didapati orang ramai supaya mereka dapat memeriksa status mereka di laman sesawang parti kami.

“Data ini akan dikemas kini dan kami menjangkakan ia berjalan sepenuhnya dalam beberapa hari.

“Pemohon di kawasan SUPP akan dapat memeriksa status mereka melalui laman web rasmi parti dalam hanya beberapa hari namun bagi mereka yang namanya tidak muncul dalam sistem, kami nasihatkan jangan panik dan terus mencuba dalam sehari dua kerana pangkalan data tersebut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya melalui kenyataan akhbar di sini, kelmarin.

Pengagihan BR1M 3.0 bermula semalam (22 Februari) dan seterusnya, sementara mereka yang tidak mempunyai akaun bank akan mendapat baucar BR1M secara berfasa bermula hari ini (23 Februari).

Di bawah BR1M, bantuan kepada isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000 akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650 manakala bantuan kepada individu bujang iaitu berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bawah RM2,000 sebulan akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Untuk pertama kalinya, BR1M 3.0 akan diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 yang akan menerima RM450.

Advertisement