Anda di sini

SPDP jamin selesai masalah sebelum PRN: Mawan

Advertisement

SIDANG MEDIA: Mawan (tengah) mempengerusikan sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi SPDP di ibu pejabat parti di Kuching semalam.

Sudah tiba masanya untuk melupakan perkara yang lepas dan bergerak ke hadapan

KUCHING: Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom memberi jaminan bahawa segala masalah yang sedang dihadapi oleh parti itu akan diselesaikan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi SPDP di ibu pejabat parti itu semalam, Mawan berkata sudah tiba masanya untuk mereka melupakan perkara yang lepas dan bergerak ke hadapan.

“Kami sependapat dengan nasihat dan panduan daripada pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mahu melihat penyatuan dalam BN bagi memperkukuhkan lagi kekuatan kita ketika berhadapan dengan PRN akan datang.

“Apabila pemimpin BN bercakap seperti ini terutama ketika PRN hampir tiba saya beranggapan bahawa ia adalah nasihat yang amat penting serta amaran awal kepada parti untuk tindakan sewajarnya,” katanya.

Tambah Mawan, oleh kerana parti berhadapan dengan pelbagai masalah terutama membabitkan kerusi-kerusi yang gagal dimenangi pada PRN lepas, maka penyatuan merupakan kemestian kepada parti ketika ini.

“Saya memberi mandat kepada Timbalan Presiden Datuk Seri Tiong King Sing untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai usaha-usaha ke arah penyatuan dan pembangunan parti sebagai menyahut gesaan dan nasihat daripada pemimpin BN termasuk Ketua Menteri sedia ada dan bakal penggantinya.

“Pada masa yang sama kami juga cuba mengingatkan Perdana Menteri mengenai pelantikan Ahli-ahli Parlimen SPDP sebagai menteri penuh atau timbalan menteri dalam kabinet persekutuan seperti yang pernah dijanjikan kepada saya sebelum ini,” tambahnya.

Mengulas mengenai mesyuarat tersebut, Mawan berkata ia merupakan mesyuarat rutin SPDP bagi membincangkan beberapa isu termasuk peralihan pucuk kepimpinan negeri daripada Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kepada Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri baharu dan kami sebulat suara menyokong pilihan Taib dan berjanji akan memberi sokongan penuh kepada Adenan serta apa jua yang bakal dilaksanakan oleh beliau.

“Kami tahu Adenan tidak akan memberi sebarang kebimbangan kepada kami dan yakin beliau akan membantu memperkukuhkan SPDP serta parti-parti komponen BN yang lain seperti yang pernah dilaksanakan oleh Taib,” ujar Mawan.

Advertisement