Anda di sini

Sarawak tidak laksana dasar bangsa majoriti

Advertisement

SOKONG: Taib menandatangani dokumen tulisan kaligrafi kuda dalam Malaysia Book of Records sambil disaksikan Hii (empat kiri), Ragad dan tetamu jemputan lain.

Ia tidak sesuai dengan rakyatnya yang berbilang kaum dan budaya, kata Taib

MIRI: Sarawak tidak akan melaksanakan dasar bangsa majoriti atau kumpulan dominan kerana tidak sesuai dengan rakyatnya yang berbilang kaum dan budaya.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kerajaan mengamalkan sikap terbuka terhadap semua kaum dan tidak memihak kepada mana-mana kaum atau kepentingan kaum tertentu.

“Tiada mana-mana kaum di negeri ini mahu menunjukkan kuasa dominan atau didominankan dalam mencapai wawasan masa depan mereka.

“Dengan cara ini, saya fikir kita belajar untuk menjadi lebih terbuka dan bekerjasama kerana tiada siapa yang dikehendaki untuk menjadi dominan dan menguasai orang lain dalam apa sahaja yang mereka rancang untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam ‘Satu Malaysia Satu Hua Zhong’ sempena Tahun Baharu Cina anjuran Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Miri di sini kelmarin.

Taib menambah, politik negeri ini begitu bergantung kepada satu sama lain.

“Apabila wakil orang Cina mengalami banyak kekalahan dalam politik semasa pilihan raya lalu, kerajaan mencari cara-cara untuk mendapatkan lebih banyak pemimpin Cina terlibat dalam bidang perindustrian di Sarawak,” ujarnya.

Menurutnya, kerjasama rapat antara kaum membolehkan pemahaman lebih baik dalam politik supaya ada peluang untuk semua orang.

“Seperti yang anda lihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan pendidikan telah memberi manfaat kepada semua kaum.

“Dasar pendidikan kita berkembang tanpa mencetuskan perasaan tidak selamat antara kaum-kaum,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Taib berkata beliau percaya pimpinan Ketua Menteri baharu dan kabinet akan meneruskan kerjasama dan perpaduan yang sedia ada.

“Anda boleh lihat prestasi masa lalu dan kekuatan membawa rakyat bersama-sama dan sekarang Sarawak telah membangun hasil kerjasama orang Cina, Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Melayu,” jelasnya.

Beliau menambah, Miri telah menunjukkan bahawa rakyat di negeri ini dapat hidup dalam harmoni dan ia wajar diteruskan.

“Ini merupakan ucapan saya yang terakhir sebagai Ketua Menteri kepada anda.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada warga Miri, terutama rakan-rakan perniagaan dan pemimpin masyarakat yang telah berusaha keras untuk mengubah Miri dari sebuah pekan nelayan menjadi bandar yang berkembang maju dari segi ekonomi,” katanya.

Pada majlis tersebut, Taib mengumumkan RM100,000 kepada persatuan untuk membiayai aktiviti semasa.

Beliau turut menyaksikan tulisan kaligrafi kuda sebanyak 4,088 keping yang turut dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.

Hadir sama isteri beliau Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Presiden Persekutuan Bahagian Miri Persatuan Cina Hii Teck Yun dan Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak Dr Wong Aik Liong.

Advertisement