Anda di sini

Piala Datuk Patinggi Jabu 2014 singkap tirai 5 April

Advertisement

BETONG: Peminat-peminat bola sepak di Bahagian Betong berpeluang menyertai dan menyaksikan kejohanan Piala Datuk Patinggi Jabu 2014 edisi ke-16 apabila Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA) menganjurkannya.

Setiausaha Kehormat BDFA, Majid Amit berkata kejohanan masuk edisi ke-16 itu akan menyingkap tirai pada 5 April nanti.

“BDFA menetapkan bahawa kejohanan kali ini terhad kepada 16 pasukan sahaja dari Bahagian Betong.

“Format pertandingan dijalankan secara Liga Kumpulan dan setiap pasukan dibenarkan mendaftar tiga orang pemain luar dari Bahagian Betong.

“Yuran penyertaan sebanyak RM500 sebuah pasukan. Tarikh tutup penyertaan pada 20 Mac jam 12 tengah hari dan mesyuarat pengurus pasukan diadakan pada 24 Mac di Medan Hotel Betong, jam 4 petang,” jelas beliau.

Hadiah-hadiah akan diberikan kepada johan berupa piala pusingan, wang tunai RM5,000, piala ringan dan pingat.

Naib johan mendapat hadiah wang tunai RM2,500, piala iringan dan pingat manakala pasukan yang tewas pada peringkat separuh akhir akan berkongsi di kedudukan ketiga bersama dan menerima wang tunai RM1,000.

“Turut diberikan ialah Piala Fair Play dan Piala Penjaring Terbanyak,” tambahnya.

Untuk pembukaan kejohanan itu turut diadakan Piala Sumbangsih menemukan Pelados e-Putra juara Piala Datuk Patinggi Jabu 2013 edisi ke-15 dan pasukan 30 junction yang merupakan juara Liga Betong-Naim 2013.

Dalam pada itu, Majid turut berpesan kepada mana-mana pasukan yang ingin menyertai agar bersedia dan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, kita juga dapat mencari dan melahirkan bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan selain sebagai landasan memilih pemain bagi menyerung jersi Betong ke kejohanan Piala Sarawak pada tahun ini.

Di samping itu dapat diiktiraf sebagai tunjang kemajuan bola sepak tempatan dan dapat diserapkan dalam skuad negeri.

“Pemain-pemain juga diharap tidak hanya sekadar menyertai pasukan bertanding tetapi perlu melengkapkan diri dengan kemahiran bola sepak dan sentiasa berlatih bagi membentuk kemahiran individu untuk bersaing dalam pasukan masing-masing,” katanya.

Borang penyertaan boleh didapati daripada Majid di Majlis Daerah Betong (MDB) atau menghubungi beliau di talian 083-472086.

Advertisement